Kelab bola sepak FELDA United menuntut penjelasan daripada badan pentadbir liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) mengenai isu tunggakan gaji yang membabitkan enam pemain dan bekas jurulatih pasukan itu, B. Satiananthan.

Menurut Setiausaha Agung FELDA United, Afizal Abu Othman, pihaknya tidak menerima pembayaran geran fasa pertama daripada MFL berjumlah RM1.5 juta kerana wang itu sepatutnya digunakan oleh badan tersebut untuk menyelesaikan tunggakan gaji tersebut.

Namun, sehingga kini pemain terbabit serta Sathianathan belum menerima sebarang pembayaran daripada MFL atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun sudah hampir memasuki pembayaran fasa kedua pada Khamis ini.

“Sepatutnya MFL menguruskan pembayaran tersebut terus kepada pemain dan jurulatih. Baru-baru ini, kami hantar semula surat kepada MFL bagi mendapatkan status pembayaran agar kami boleh memberi maklumat tersebut kepada pemain,” kata Afizal dalam Stadium Astro.

66269511_2626397070738310_960784093920886784_o
FOTO: FELDA United

Antara pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji daripada FELDA United ialah bekas kapten, Shukor Adan, Ahmad Syamim Yahya, Wan Zack Haikal Wan Noor, Farizal Harun, Azreen Zulkafali dan Hadin Hazman dengan jumlah tunggakan melebihi RM1.5 juta.

Kemelut itu dilihat menjejaskan persiapan Felda untuk melengkapkan permohonan pelesenan kelab yang perlu dibuat sebelum 31 Ogos ini bagi mengelak daripada kegagalan bertanding musim depan.

“Kami sudah naik ke Liga Super untuk musim depan. Sekarang, kami sangkut kepada isu tunggakan dan diharapkan jika ia dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini, proses pelesenan kelab juga dapat dilengkapkan.”

Sumber