Malam ini dua pasukan tercorot Liga Super iaitu Kuala Lumpur dan FELDA United bakal berentap memburu tiga mata penuh bagi mengelakkan daripada tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Selepas mengharungi 19 perlawanan, skuad warga kota kini mengumpulkan 14 mata manakala FELDA United yang masih mempunyai baki satu perlawanan berada di kedudukan terbawah dengan 12 mata.

Pengendali skuad The Fighters, Nidzam Jamil mengakui anak buahnya berdepan tugas yang sukar untuk memastikan pasukannya terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan. Kekalahan 1-2 kepada Selangor beberapa hari lalu bermakna mereka wajib kutip tiga penuh dalam baki 4 perlawanan yang akan datang.

“Bagi saya, situasi dihadapi FELDA United ketika ini semakin rumit kerana kami tidak boleh lagi terlepas sebarang mata jika mahu kekal dalam Liga Super musim depan.

“Pemain tidak boleh lagi memberi peluang kepada lawan, sebaliknya perlu agresif dalam misi mencatat kemenangan. Walaupun tiada mustahil dalam bola sepak, kami tidak boleh lakukan sebarang perubahan jika sering mengulangi kesilapan mudah apabila ditekan lawan,” katanya dalam Arena Metro.

66179078_2626449460733071_7949683546602340352_n
FOTO: FELDA United

Sementara itu, kapten pasukan, Hadin Azman mengakui pertemuan dengan Kuala Lumpur di Stadium KLFA Cheras, malam ini, ibarat misi penentu hidup mati The Fighters.

“Kami tidak boleh lagi keciciran mata dan selepas tewas kepada Selangor 1-2 Ahad lalu. Mahu atau tidak, kami perlu menang ke atas Kuala Lumpur dan perlawanan malam esok adalah misi hidup mati kami (FELDA United) untuk keluar dari zon penyingkiran ” katanya.

Hadin sudah menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Super berkata, jaringan awal adalah sasaran utama kelab itu bagi memberi tekanan kepada tuan rumah.

“Kelebihan dimiliki Kuala Lumpur yang beraksi di laman sendiri bukanlah penghalang untuk kami mengutip tiga mata,” katanya

Selepas menentang Kuala Lumpur mereka akan bertemu tiga lagi lawan yang sukar iaitu PKNP (13 Julai), Pahang (17 Julai) dan Kedah (21 Julai).

Sumber