Mulai musim depan, tiada lagi kelibat pasukan FELDA United FC (FUFC) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila mereka mengumumkan keputusan untuk tarik diri daripada menyertai Liga Super ataupun Liga Premier.

Pengesahan itu dibuat menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat FELDA pada hari ini.

“FELDA ingin memaklumkan bahawa pembabitan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga musim 2020 sahaja. Mulai tahun 2021, FUFC tidak akan lagi menyertai Liga Super Malaysia dan Liga Perdana Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan itu terpaksa dibuat bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan program sukan yang dirancang serta dilaksanakan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan serta penilaian risiko.

EjjemFuU8AADX8G

Bagaimanapun, Akademi Bola Sepak FELDA yang dikendalikan FUFC sebelum ini tetap akan diteruskan memandangkan akademi berkenaan adalah platform pembentukan bakat dan modal insan dalam kalangan generasi baharu FELDA.

Beberapa kakitangan FUFC juga bakal mendapat bayaran pampasan selepas mereka diberi notis penamatan perkhidmatan pada bulan lepas.

“(Seramai) 16 orang kakitangan FUFC akan dibayar pampasan penamatan perkhidmatan mengikut syarat pelantikan yang dipersetujui oleh pengurusan FUFC. Notis makluman serahan tugas sudah diberikan pada 17 September 2020 kepada kakitangan yang terlibat,” katanya.

Selain itu, FELDA turut menafikan laporan media yang mengatakan pejabat FUFC dipecah masuk sehingga beberapa dokumen penting untuk siasatan SPRM lesap.

Pejabat Felda United (terletak di Tingkat 5 Institut Semarak Felda, ISEF) serta semua aset yang disewa oleh Felda United daripada FELDA dikatakan telah dirantai dan disekat aksesnya oleh pihak pengurusan FELDA sendiri bermula pada minggu lepas

“Selepas pengambilalihan pada 1 September 2020, FELDA mempunyai hak dan akses penuh kepada pejabat itu, lantas menafikan sebarang tuduhan pecah masuk. Pegawai yang hadir juga diiringi oleh Polis Bantuan FGV Security Sdn Bhd.

“Berikutan itu, FELDA sudah membuat satu laporan polis bagi melindungi kepentingannya dan FELDA tidak akan memberikan respons awam berkenaan isu ini bagi tidak mengganggu siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap FUFC,” katanya.

Skuad kendalian Nidzam Jamil itu kini menghuni kedudukan kedua tercorot CIMB Liga Super 2020. Antara pencapaian terbaik FELDA United sepanjang beraksi dalam Liga Malaysia ialah naib juara Liga Super 2016 dan juara Liga Premier sebanyak dua kali pada tahun 2010 serta 2018.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Pulau Pinang Tamatkan Penantian 7 Tahun Selepas Bergelar Juara Liga Premier 2020

IG Story Eyka Farhana Dedahkan Kehadiran ‘Penyokong’ Ke Stadium, MFL Wajib Tampil Beri Penjelasan

Kedah Guna Nama Darulaman FC (DFC), Rekaan Logo Baharu Pasukan Bakal Cetus Kontroversi Dari Peminat