Skuad bimbingan Nidzam Jamil, Felda United mahu meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super 2019 apabila bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung bagi menghadapi pasukan PKNP FC pada esok sekaligus keluar dari zon penyingkiran.

Felda berjaya menewaskan Kuala Lumpur dengan keputusan 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium KLFA pada Rabu lalu dan kemenangan tersebut kini meletakkan Felda di tangga ke-11, dibezakan oleh jumlah jaringan dengan pasukan yang berada di tangga ke-10, PKNP.

Menurut pemain sayap The Fighters, Christie Jayaseelan, pasukannya tidak boleh keciciran mata pada perlawanan PKNP kerana dua perlawanan terakhir Liga Felda akan berdepan pasukan Pahang dan Kedah.

“Sudah pasti kami tiada pilihan lain dan perlu menang ke atas PKNP dan seterusnya bersedia untuk perlawanan bertemu Pahang dan Kedah.

“Saya percaya kemenangan ke atas KL memberi semangat kepada semua pemain untuk meneruskan rentak kemenangan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Jayaseelan
Sumber Gambar: Harian Metro

Tambah Christie, beliau menggesa rakan sepasukan untuk tidak memberikan ruang kepada pemain pasukan lawan untuk menyerang dan pada masa yang sama perlu berhati-hati semasa menyerap segala asakan yang diberikan. Sebarang kesilapan yang dilakukan boleh mendatangkan bahaya untuk Felda.

Jika berjaya meraih tiga mata, Felda United akan keluar daripada zon penyingkiran sekaligus menolak PKNP FC untuk menduduki tangga ke-11. Satu lagi pasukan, Kuala Lumpur menduduki tangga tercorot dan mereka juga wajib meraih kemenangan bagi mengelak daripada jatuh ke saingan Liga Perdana musim hadapan.