Pasukan Felda United memburu khidmat penyerang berpengalaman skuad kebangsaan Singapura, Khairul Amri untuk mengukuhkan jentera serangan bagi mengharungi baki saingan musim 2019.

Pengendali pasukan, Nidzam Jamil menegaskan beliau mengharapkan pengurusan pasukan untuk menandatangani Khairul bagi mennyelesaikan masalah di jentera serangan yang sedang dihadapi Felda. Ketika ini, skuad The Fighters mengharapkan “attacking midfielder” mereka iaitu Kei Ikeda untuk mengisi posisi penyerang utama.

Amri Singapura
Sumber Gambar: Singapore Premier League

“Saya gembira jika kita berjaya mendapatkan khidmat Khairul, dia seorang penyerang yang telah mewakili Singapura selama lebih 10 tahun. Sekarang bersama Tampine Rovers, beberapa hari lalu (rabu) dia jaringkan tiga gol dalam Piala AFC.

“Saya nampak dia calon terbaik untuk kita. Dia seorang ‘poacher’ yang baik, boleh menjaringkan gol, mungkin membantu banyak untuk kita. Pengalaman yang ada padanya boleh membimbing pemain-pemain muda kita untuk jangka masa panjang.” katanya menurut laporan Astro Awani.

Sebelum ini, Khairul Amri pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia apabila beliau mewakili pasukan Lions XII. Penyerang berusia 34 tahun ini berjaya menjaringkan 8 gol ketika beraksi bersama Lions dalam saingan Liga Super 2012.

Khairul Amri
Sumber Gambar: Asia One

Ketika ini, slot bagi pemain import Asia Tenggara dalam pasukan Felda United masih belum diisi setelah mereka menggugurkan pemain dari Timor Leste, Quirino pada awal musim ini. Kehadiran Amri dilihat mampu untuk menyelesaikan masalah di bahagian serangan pasukan.

Baca Juga: 5 Pemain Import Asean Terbaik Setakat Ini