Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan siri jelajah pra musim di Dubai dengan kekalahan apabila tewas 3-0 kepada juara Liga Premier Rusia, FC Zenit Saint Petersburg di Stadium Maktoum Bin Rashid Al Maktoum.

Dalam perlawanan ini, JDT menurunkan barisan yang hampir sama ketika menentang Lokomotiv Moscow. Hanya dua pertukaran dilakukan dengan memasukkan Diogo Luis Santo di bahagian serangan dan Farizal Marlias bagi menggantikan tempat Syihan Hazmi di posisi penjaga gol.

Manakala Afiq Fazail, Juan Muniz serta Hong Wan beraksi di bahagian tengah. Pengendali baharu Harimau Selatan, Esteban Solari turut mengekalkan barisan pertahanan seperti Jordi Amat, Feroz Baharudin, Matthew Davies dan Oscar Arribas.

Namun begitu, FC Zenit terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke 10 menerusi rembatan Rodrigao selepas menerima hantaran lintang daripada Danil Krugovoy.

5 minit kemudian, bekas pemain B-23 Brazil, Malcom menambah gol kedua untuk Zenit apabila rembatan lencongnya dalam kawasan kotak penalti mudah menewaskan Farizal Marlias.

JDT cuba bangkit namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan Zenit yang beraksi dengan cukup berdisiplin serta memiliki kelebihan dari segi fizikal.

Pada minit ke 31, Zenit memperolehi gol ketiga menerusi Daniela Kozlov yang tidak dikawal sekaligus menyudahkan hantaran lintang cantik dari sebelah kiri dalam situasi kelam kabut.

Peluang terbaik skuad Harimau Selatan hadir pada minit ke 32 tetapi hantaran lintang Matthew Davies gagal dimanfaatkan oleh Diogo Luis Santo. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan JDT melakukan pertukaran pemain dengan mengeluarkan Farizal Marlias, Diogo Luis Santo dan Fernando Forestieri. Tempat mereka digantikan oleh Syihan Hazmi, Syafiq Ahmad dan Syahmi Safari.

Bagaimanapun, percaturan tersebut tidak menghalang FC Zenit untuk terus mengandakan asakan. Malah, JDT juga berpeluang menjaringkan gol pertama melalui sepakan penalti tetapi ia gagal disempurnakan oleh Safiq Rahim pada minit ke 86.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh skuad Harimau Selatan namun mereka beraksi lebih baik di separuh masa kedua. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Secara keseluruhan, JDT menamatkan kem latihan pra musim di Dubai dengan 3 kemenangan dan 2 kekalahan sekaligus mencapai objektif mereka untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain.

Skuad Harimau Selatan akan pulang ke tanah air membuat persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Liga Malaysia 2023 bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari 2023.