Perlawanan akhir Piala FA 2019 menentang pasukan Perak nyata menjadi pentas yang istimewa untuk pemain muda Kedah, Fazrul Danel Mohd Nizam apabila beliau menjaringkan gol kemenangan sekaligus memberikan kejuaraan kelima untuk skuad Lang Merah.

Fazrul bermula di bangku simpanan sebelum beliau dimasukkan pada masa tambahan bagi menggantikan David Rowley. Pemain berusia 21 tahun ini tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol apabila beliau bijak menolak masuk bola hasil daripada hantaran Rizal Ghazali.

Jaringan yang dihasilkan oleh Fazrul seolah-olah menjadi satu petanda bahawa beliau sudah sedia untuk diberikan tanggungjawab besar dengan membarisi kesebelasan utama pasukan Kedah pada perlawanan yang akan datang.

Pada awal musim ini, Fazrul Danel menjadi pilihan Aidil Sharin untuk mengisi bahagian tengah di samping ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar. Beliau kemudiannya dihantar ke Cardiff bersama tiga pemain muda yang bagi menjalani latihan pada Mac lalu.

Namun, sekembalinya Fazrul dari Cardiff beliau kerap menjadi pemain simpanan dimana ketua jurulatih pasukan, Aidil Sharin lebih gemar meletakkan Rowley untuk digandingkan bersama Baddrol.

Selain itu, Fazrul juga wajar untuk diberikan peluang bagi membarisi pasukan B-23 tahun negara dalam saingan Sukan SEA di Filipina yang akan bermula pada November nanti.

Rakan sepasukan Fazrul, Mohamad Fayadh juga perlu diberikan perhatian kerana beliau turut menampilkan aksi yang memberangsangkan apabila dibawa masuk pada separuh masa kedua semalam.