Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Tonggak baharu Selangor FC, Muhd Fazly Mazlan sedia mencurahkan pengalaman hampir sedekad di Liga Malaysia untuk membimbing majoriti pemain muda di dalam pasukan bagi saingan Liga Malaysia 2022.

Pemain pertahanan kiri itu yang menyertai Selangor FC dengan kontrak dua tahun mengakui terpikat melihat kualiti pemain muda di dalam pasukan malah optimis mereka mampu mencabar kejuaraan.

Dalam masa sama, pemain berusia 28 tahun ini mahu menaikkan semula kariernya apabila mengambil keputusan untuk bersama Selangor sambil turut mahu memburu kembali tempat dalam pasukan kebangsaan.

“ Daripada apa saya perhatikan sejak ke sini, kualiti yang dimiliki sebahagian besar pemain muda Selangor di sini cukup bagus dan sememangnya ini satu perkara baik untuk pasukan.

“ Saya akan cuba membantu mereka serta pasukan dengan segala apa yang termampu kerana saya berasakan pasukan ini ada potensi.

“ Bagi sasaran diri sendiri, saya berasakan ini waktu terbaik mendapatkan kembali tempat dengan pasukan kebangsaan jika mendapat minit permainan yang cukup di sini, ” katanya.

Kredit Foto: Selangor FC

Fazly mula menjadi perhatian selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada 2013 sebelum diserapkan ke JDT pada tahun berikutnya malah sering kali diletakkan dalam kesebelasan utama dan turut beraksi di Piala AFC.

Malah Fazly sering kali mendapat panggilan pasukan kebangsaan dari tahun 2015 hingga 2018 terutama pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

Setelah tujuh musim di Johor, Fazly dipinjamkan selama dua musim bersama Sri Pahang FC dari musim 2020 sebelum ke Selangor FC untuk musim baharu.

Di Selangor, dia dijangka akan bersaing dengan R.Dinesh, Ahmad Zikri Mohd Khalili dan Azrin Afiq bagi merebut posisi pertahanan kiri.

Selain itu, Fazly mendedahkan dia sememangnya mengikuti bola sepak Selangor sejak dari kecil memandangkan dirinya dilahirkan di Klang sebelum keluarganya berhijrah ke Muar pada umur 5 tahun.

“ Sememangnya gembira dapat sertai pasukan besar seperti Selangor kerana sejak dari kecil lagi saya sudah meminati Selangor malah sering kali ikuti perkembangan mereka.

“ Jadi apabila dapat bersama Selangor, saya rasa seperti satu penghargaan besar buat karier malah secara kebetulan saya sendiri dilahirkan di Hospital Besar Klang sebelum orang tua saya berpindah ke Muar dan dibesarkan di Johor ,” tambah Fazly Mazlan lagi.

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group