Kejayaan layak ke peringkat separuh akhir Piala AFC bagi zon ASEAN menjadi pembakar semangat buat Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berhasrat mahu meneruskan rentak cemerlang di pentas Piala FA.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Pemain sayap yang kian melonjak naik, Fayadh Zulkifli, melihat semangat serta keyakinan dalam Kedah sangat berbeza sejak pulang dari Indonesia.

Ditambah kehadiran dua pemain import terbaharu, Mahmoud Al-Mardi dan Sanrawat Dechmitr yang memberikan perubahan kepada jentera tengah serta serangan, Fayadh melihat tidak mustahil buat Kedah melakar kejayaan berdepan Terengganu FC pada pusingan kedua Piala FA.

“Momentum pasukan berada di tahap terbaik selepas beraksi baik di Piala AFC dan beri suntikan moral kepada kami sebelum berdepan Terengganu.”

“Semuanya berjalan lancar setakat ini kerana pemain seperti Mahmoud banyak menghidupkan jentera serangan dan persefahaman sesama kami tampak baik setakat ini.”

“Manakala Sanrawat boleh mengawal tempo perlawanan di bahagian tengah dan ini banyak memberikan keselesaan kepada pasukan.”

Mahmoud pantas membuktikan kemampuannya. Kredit Foto: Kedah Darul Aman FC

“Sebagai juara bertahan, sudah tentu kami mahu melangkah sejauh mungkin dengan impian kami adalah ke final dan kami akan berikan yang terbaik walaupun terpaksa bermain di laman lawan,” katanya.

Terengganu dan Kedah akan berentap di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan pemenang akan berdepan Kuching City FC.

Fayadh yang meledak tiga gol semasa saingan peringkat Kumpulan G turut menjaringkan empat gol di Liga Malaysia dengan dua di Piala FA dan dua di Liga Super.

Namun situasi berkenaan belum meletakkan pemain berusia 24 tahun berkenaan sudah berpuas hati dengan pencapaian terkini sebaliknya berasakan masih banyak perlu diperbaiki.

“Saya tidak rasakan sudah berada di tahap tertinggi dalam karier kerana masih banyak lagi sasaran belum tercapai.”

“Tiap kali jurulatih berikan peluang, saya mahu balas kembali kepercayaannya dengan tunjukkan semula apa yang beliau mahukan semasa latihan.”

“Saya juga mahu penyokong Kedah sentiasa berada di belakang pasukan dan berikan kepercayaan kepada semua pemain termasuk saya,” tambah Fayadh lagi.