Pasukan Kedah bertindak pantas bagi memastikan pemain muda terbaik mereka kekal menyarung jersi skuad Hijau Kuning apabila melanjutkan kontrak dua pemain iaitu Mohammad Fayadh dan Mohammad Fazrul Danel.

Fayadh dan Danel masing-masing mendapat lanjutan kontrak selama 5 tahun serta diletakkan nilai tebus bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat kedua-dua pemain sebesar RM5 Juta.

Lanjutan kontrak dua pemain yang berusia 21 tahun ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menerusi laman media sosial rasmi pasukan. Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris menyatakan pihaknya akan memuktamadkan lanjutan kontrak kedua-dua pemain selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Felda United malam ini.

Fazrul Danel
Sumber Gambar: Media Baru

Fazrul dan Fayadh mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila menampilkan prestasi yang baik bersama pasukan Kedah dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Kedua-duanya beraksi di bahagian tengah dan mereka mempunyai potensi untuk menjadi pemain tengah terbaik dalam negara pada masa akan datang serta membantu Kedah memenangi kejuaraan.

Pada perlawanan Liga Super 2019 menentang PKNS FC Selasa lalu, Fayadh menyumbang satu gol sekaligus membantu Kedah menewaskan The Red Ants dengan keputusan 3-2.