Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan seorang lagi pemain baharu untuk saingan Liga Malaysia musim depan iaitu Nik Muhammad Sharif Haseefy atau lebih dikenali sebagai Nik Sharif.

Pemain yang berusia 23 tahun ini telah beraksi dengan pasukan Pahang sejak tahun 2016 dan mula menjadi bualan peminat bola sepak tempatan selepas menjaringkan 3 gol serta 2 assist dalam 3 perlawanan terakhir Liga Super pada musim 2020.

Pencapaian hebat itu telah menarik minat Selangor untuk mendapatkan khidmat pemain itu bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan.

Ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel menyifatkan pemain muda ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri untuk membantu pasukan Selangor terutamanya daripada segi kebolehan menganalisis corak permainan.

“Dia (Nik Sharif) memiliki aspek teknikal yang baik serta mempunyai visi yang hebat dalam membaca permainan biarpun usianya yang masih muda. Dia juga boleh bermain sebagai pemain sayap atau membantu bahagian tengah dengan efektif.”

“Saya percaya bahawa Nik Sharif bakal memainkan peranan penting dalam pasukan Selangor musim hadapan. Saya tidak sabar untuk melihatnya beraksi untuk persediaan pra musim,” katanya melalui laman web rasmi FAS.

Sementara itu, Nik Sharif mengakui fasiliti lengkap serta pengurusan yang profesional merupakan antara sebab utama beliau memilih untuk menyertai Selangor dan berazam untuk membantu mereka meraih pelbagai kejayaan.

“Saya berasa sangat teruja serta bersyukur atas rezeki dan peluang yang diberikan untuk bermain dengan salah sebuah pasukan yang penuh sejarah dan pencapaian di Liga Malaysia.

“Selangor mempunyai keistimewaan tersendiri termasuklah fasiliti yang serba lengkap, pihak pengurusan yang profesional selain barisan pemain yang cukup berpengalaman.”

“Saya akan berusaha untuk berikan prestasi yang terbaik untuk pasukan demi membalas kepercayaan pihak pengurusan dan membanggakan para penyokong Selangor,” tegas Nik Sharif.

Nik Sharif merupakan pemain terbaru keempat yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Shahrel Fikri, Tim Heubach dan R. Dinesh baru-baru ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Nik Sharif melalui pautan dibawah. 

3 Gol Dalam 3 Perlawanan, Nik Sharif Mula Jadi Bualan Peminat Bola Sepak Tempatan

Nik Sharif Haseefy Ucap Selamat Tinggal Kepada Pahang

Tewaskan Kedah, Dollah Kagum Dengan Semangat Pemain Muda Pahang