Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan badan induk itu mengutamakan pemain daripada pasukan pembangunan, Selangor II bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Rufino Segovia dan Nor Hakim Hassan.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran Liga Malaysia 2020, Dr Johan menegaskan pihaknya mahukan yang terbaik bagi pasukan bagi memastikan skuad Red Giants dapat menampilkan persembahan terbaik dalam saingan Liga Malaysia musim 2020.

FAS
SHAH ALAM 06 OGOS 2018. Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon ditemui media pada Penutup Bengkel Perbincangan Persatuan Bolasepak Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR

“Kita ada beberapa pilihan. Satu kita perlu mencari pemain dari luar dan satu lagi ialah seperti yang sedia maklum kita baru sahaja menubuhkan Selangor II yang dibimbing Michael Feichtenbeiner. Beliau baru sahaja kembali daripada cuti Krismas dan sudahpun memulakan kerja.

“Sekarang ini kita sedang melihat sama ada bakat-bakat dari Selangor II yang boleh diketengahkan untuk saingan Liga Super ataupun kita perlu mencari pemain luar. Perkara ini akan mengambil sedikit masa,” kata Dr Johan.

FAS
Rufino masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.

Pada masa yang sama, Dr Johan turut mengesahkan FAS telah mengenal pasti pemain import yang bakal diletakkan dalam Selangor II bagi mengharungi saingan Liga Perdana.

“Kita sudah mempunyai calon pemain import bagi Selangor II. Beliau merupakan penyerang dan pernah beraksi dalam saingan Liga Jerman namun kami masih perlu melihat sama ada beliau bakal mengisi kekosongan Rufino atau sebaliknya,” tambahnya.

Baca artikel mengenai pasukan Selangor di sini:

Nor Hakim Hassan Alami Kecederaan ACL, Bakal Terlepas Aksi Musim 2020

Satiananthan Ada Calon Pemain Baharu Ganti Tempat Nor Hakim Hassan

Kedah Dan Selangor Masih Belum Setaraf Johor Darul Ta’zim