Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menegaskan mereka memantau keadaan pemain import pasukan, Endrick Dos Santos.

Semalam, FAS mengumumkan mereka menandatangani bekas penyerang Melaka United, Ifedayo Olesegun bagi menggantikan Rufino Segovia yang dibatalkan penyertaannya kerana berehat panjang akibat kecederaan yang dialami.

“Kami batalkan pendaftaran Rufino, tapi pada masa yang sama kita juga memantau perkembangan Endrick Dos Santos. Malah, kami masih ada masa untuk melihat keadaan sebenar dia,” kata Pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad menurut laporan Berita Harian.

Sama seperti Rufino, Endrick turut mengalami kecederaan yang memaksa beliau untuk berehat panjang. Kali terakhir bekas pemain Felcra ini beraksi untuk Selangor ialah pada perlawanan menentang Terengganu FC dimana beliau terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua dan digantikan dengan K.Sarkunan.

Jika Endrick gagal untuk pulih daripada kecederaan yang dialami, berkemungkinan besar FAS akan menggugurkan beliau bagi mendaftarkan semula Rufino untuk menghadapi saingan Piala Malaysia.