Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengancam tidak akan menghantar skuad B-22 tahun negara itu untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.

Keputusan ini diambil oleh Presiden FAS, Bernard Tan selepas pasukan itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan ketika temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja dimana Singapura hanya meraih satu mata dan gagal mengutip sebarang kemenangan.

Singapura tewas kepada Thailand (3-1), Vietnam (3-1), Malaysia (7-0) dan seri tanpa jaringan ketika menentang Laos.

Prestasi ini jauh menyimpang dari apa yang disasarkan oleh FAS dimana badan itu mahu pasukan itu untuk sekurang-kurangnya melepasi saingan peringkat kumpulan dan mara ke peringkat separuh akhir.

Sekiranya keputusan ini muktamad, maka Singapura tidak akan beraksi dalam saingan Piala AFF B-23 dan juga Sukan Asia 2022 pada Oktober ini.

Setakat ini, FAS telah mendaftarkan pasukan itu untuk beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia B-23 bagi edisi 2024.

Keputusan ini dilihat tidak adil dan terburu-buru dimana kekurangan pemain selain persiapan yang minima menjadi punca kepada kegagalan Singapura dalam temasya Sukan SEA.