Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias memandang tinggi kemampuan Terengganu dan tidak mahu rakan sepasukannya melakukan kesilapan yang mampu dieksploitasi oleh lawan tersebut.

Aksi final Piala FA 2022 menemukan JDT dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok pastinya bakal menjanjikan saingan menarik dimana pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini sentiasa berlangsung dengan intensiti dan berkualiti tinggi.

Walaupun JDT dilabel sebagai pasukan pilihan, tugas sukar akan menanti skuad kendalian Hector Bidoglio itu tatkala Terengganu akan turun dengan kekuatan penuh tanpa sebarang kecederaan dialami pemain mereka.

Hakikat itu diakui Farizal yang melihat lawan tersebut mampu untuk menghukum JDT sekiranya mereka memberikan ruang kepada Terengganu.

“Mereka (Terengganu) satu pasukan yang konsisten dari segi permainan. Mereka mempunyai kemampuan untuk memegang bola dan mempunyai serangan-serangan yang efektif kerana mereka mempunyai kepantasan dan sebagainya.”

Kredit Foto: Malaysian Football League

“Jadi, apa yang kami boleh lakukan adalah tidak melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh memberikan ruang kepada mereka,” tambah Farizal Marlias lagi.

Dalam perkembangan sama, Farizal yang sudah lapan musim bersama JDT melihat rakan sepasukannya kini berada dalam moral terbaik untuk menghadapi perlawanan malam esok.

“Saya sudah lama bersama dengan JDT dan pada tahun 2016 saya tidak bermain ketika itu kerana digantung. Ini adalah final Piala FA pertama bagi saya jadi sudah pasti ia sangat istimewa bagi saya.”

“Saya sentiasa bersedia jika diberi kepercayaan untuk bermain pada malam esok, jadi keputusan itu semua terletak kepada jurulatih,” ujar Farizal bercakap dalam sidang media pra perlawanan, pagi tadi.

“Saya percaya pemain-pemain semua bersedia untuk beraksi pada esok malam. Kita dapat lihat moral dan juga komitmen yang mereka berikan sangat baik, saya harap keadaan yang baik itu dapat dibawa ke esok malam,” tambah Farizal Marlias lagi.