Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah mengambil beberapa langkah konstruktif bagi memberi kesedaran kepada penjaga gol pasukan, Farizal Harun yang digantung 5 perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akibat daripada masalah disiplin di atas padang.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FAS di laman web rasmi pasukan, langkah yang diambil bertujuan untuk memberi kesedaran dan memperbaiki sikap profesional para pemain bukan saja Farizal namun semua pemain Selangor musim ini.

GK Selangor
Sumber Gambar: FA Selangor

“Pertama sekali, FAS memutuskan untuk Farizal menjalani program khidmat masyarakat dalam klinik bola sepak sebagai jurulatih penjaga gol untuk anak-anak muda di sekitar Selangor.

“Keduanya, beliau telah bersetuju untuk mengikuti sesi kaunseling bersama pakar yang akan dikenalpasti dalam masa terdekat. Kos-kos berkaitan dengan kesemua perkara di atas akan ditanggung sepenuhnya oleh Farizal,” menurut kenyataan FAS.

Selain itu, Farizal turut bersedia untuk menaja kos perjalanan serta tiket bagi penyokong Selangor yang akan berkunjung ke Jengka dan juga Ipoh sebagai tanda beliau menyesali perbuatannya.

Farizal Harun
Sumber Gambar: FA Selangor

“Farizal yang kesal dengan apa yang berlaku, turut terpanggil untuk menaja kos perjalanan bas dan tiket perlawanan bagi 30 penyokong untuk perlawanan menentang Felda United dan 30 penyokong bagi perlawanan menentang Perak. 60 penyokong ini akan dipilih oleh FAS berdasarkan rekod kehadiran mereka bersama program Away Day FAS sebelum ini.

Farizal digantung 5 perlawanan oleh FAM kerana beliau menumbuk muka pemain PKNP FC, Mohamad Al-Fateh Afandi ketika Selangor berkunjung ke Manjung bulan lalu. Selain itu, Farizal juga membangkitkan kemarahan penyokong Selangor apabila beliau mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong Red Giants yang berkunjung ke Kuala Terengganu.