Ketua pasukan skuad kebangsaan, Farizal Marlias memberi peringatan terhadap rakan sepasukan agar menjaga pola pemakanan semasa merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim itu berharap rakan sepasukan yang lain kembali menyertai pasukan negara dengan tahap kecergasan yang maksimum bagi menghadapi perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan pertama bertemu Timor Leste.

Farizal Marlias
Sumber Gambar: FAM

“Berpada-padalah beraya kali ini. Pergi dan kembalilah dengan keadaan badan yang sihat dan cergas untuk perlawanan penting pasukan kita.

“Kekalkan disiplin dalam soal pemakanan. Demi negara, ayuh kita berkorban dan tinggalkan keluarga seketika,” katanya menurut laporan Utusan.

Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe memperoleh motivasi tambahan sebelum berdepan Timor Leste apabila berjaya menewaskan pasukan Nepal dengan keputusan 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada Ahad lalu.

Sekiranya berjaya menundukkan Timor Leste pada 7 dan 11 Jun ini, maka Malaysia akan bersaing dengan empat pasukan dalam pusingan kedua yang berformat liga berkumpulan timbal balik.