Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias menganggap Ratchaburi merupakan satu pasukan yang bagus dari segi teknikal menjelang perlawanan kumpulan G saingan AFC Champions League (ACL) 2021 malam ini.

JDT mahu bangkit setelah tewas tipis 1-0 kepada kelab Jepun, Nagoya Grampus pada perlawanan pertama dan mereka mempunyai peluang cerah untuk mengutip mata apabila berdepan Ratchaburi.

“Kami mempunyai maklumat mengenai pasukan lawan. Mereka adalah pasukan yang bagus dari segi teknikal dan juga laju. Saya harap kita dapat melakukan yang terbaik pada perlawanan ini.

“Apa yang penting adalah persiapan kami, di dalam dan luar padang juga dari segi fizikal dan mental. Saya harap pemain dapat memberikan 100 peratus dan meraih keputusan positif,” kata Farizal.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora turut menyasarkan kemenangan ke atas skuad bimbingan Somchai Maiwilai itu sekaligus meraih mata pertama dalam saingan edisi kali ini.

“Jangkaan saya ialah mencatat kemenangan kerana pemikiran begitu yang diperlukan, kami harus menyasarkan kemenangan.

“Kami hadir bukan sahaja mahu beraksi di atas padang dan lihat apa yang berlaku. Kami mahu memiliki mentaliti menang. Dalam 90 minit, apa saja boleh berlaku,” kata Mora.

Ratchaburi turut mengalami kekalahan pada perlawanan pertama dimana mereka tunduk dengan keputusan 2-0 di tangan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

3 Pemain Malaysia Tersenarai Dalam ‘FIFA Century Club’, Soh Chin Ann Bakal Menerajui Senarai Jika Diluluskan

Kaya FC Tewaskan Shanghai Port, Kumpulan F Saingan ACL Dihuni 3 Kelab Asean

J. Partiban Nasihatkan Pemain Muda Berhijrah Ke Pasukan Lain Untuk Dapatkan Lebih Banyak Minit Permainan