Pemain sayap pasukan Kedah, Farhan Roslan dilihat sudah menemui prestasi terbaik beliau apabila menampilkan aksi yang bertenaga dalam dua perlawanan terakhir Liga Super 2019 ketika bertemu pasukan Kuala Lumpur dan Terengganu FC.

Farhan, yang sebelum ini terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada April tahun lalu membuat kejutan apabila nama beliau disenaraikan dalam skuad utama kendalian Aidil Shahrin Sahak bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

kedah
Sumber Gambar: Kedah FA

Setelah menjalani proses pemulihan pada awal musim ini, Farhan Roslan diberi kepercayaan untuk tampil dalam kesebelasan utama oleh Aidil Shahrin dan kemudiannya Victor Andrag pada dua perlawanan terakhir Liga.

Pemain berusia 22 tahun ini nyata tidak menyia-nyiakan peluang yang diberikan dan menampilkan persembahan cemerlang. Farhan menyumbang dua assist kepada jaringan Zaquan Adha dan Fernando Rodriguez pada perlawanan menentang TFC sekaligus membantu Kedah kembali mencatat kemenangan.

Jika Farhan berjaya mengekalkan momentum semasa, tidak mustahil posisi sayap kanan akan menjadi milik Farhan sehingga Liga Malaysia musim ini menutup tirainya. Kehadiran beliau turut memberikan pilihan yang lebih ramai untuk ketua jurulatih pasukan.