Beberapa hari lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan 12 pasukan sudah pun berjaya melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC) masing-masing yang turut merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) ke FC.

Manakala enam pasukan lain masih dalam proses untuk melengkapkan penswastaan ini sebelum tarikh akhir pada 30 September ini. Salah satu daripada pasukan tersebut ialah pendahulu Liga Premier 2020, Pulau Pinang.

Mengulas mengenai isu tersebut, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP),  Dastagir Mohd Yassin menjelaskan pihaknya kini di peringkat akhir untuk menyelesaikan proses penswastaan selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mendaftar nama Penang Football Club (Penang FC).

“Sebenarnya untuk kes Pulau Pinang ini kami sudah melakukan apa yang dikehendaki oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Cuma tempoh hari kami sedang menunggu kebenaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk guna nama Penang Football Club (Penang FC).

“Alhamdulillah perkara ini berjaya diselesaikan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan kami pun sudah menerima dokumen pendaftaran Penang FC,” katanya kepada Sinar Harian

Minggu lepas, skuad kendalian Manzoor Azwira itu telah mengesahkan tempat ke saingan Liga Super musim depan selepas mengutip 20 mata dalam 8 perlawanan yang diharungi.

FAM dalam satu kenyataan memberi amaran pasukan yang gagal melengkapkan proses penswastaan sebelum 30 September ini tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2021.

Justeru itu, FAP mahu pastikan pisang tidak berbuah dua kali seperti mana musim lalu apabila mereka dinafikan slot ke saingan Liga Super gara-gara kerana masalah tunggakan gaji yang melibatkan pemain import.

“Cukup-cukuplah kami banyak belajar dari pengalaman musim lalu yang mematangkan kami supaya lebih teliti dalam menguruskan skuad Harimau Kumbang ini.

“Kami juga tidak mahu mengecewakan harapan pemain khasnya penyokong setia Harimau Kumbang yang sudah banyak berkorban demi mengembalikan maruah Pulau Pinang kembali beraksi di peringkat tertinggi bola sepak Malaysia.

“Apapun kami di pihak FAP dalam tempoh ini akan sentiasa berkomunikasi dengan FAM bagi memastikan seandainya sebarang masalah yang timbul berkaitan dengan proses penswastaan ini dapat diselesaikan menjelang 30 September ini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

12 Pasukan Selesai Lengkapkan Penswastaan Kelab, 9 Lagi Masih ‘On The Way’

TMJ Dedahkan Kontrak Sumareh Ke Selangor Dengan Gaji RM70,000 Sebulan

Pusat Latihan Berbumbung Milik The Red Warriors Bakal Dibina Dengan Bajet RM10 Juta