Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad mahu meletakkan treler 10 tan di hadapan gol apabila pasukannya turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super 2023 pada Rabu ini.

Fandi berkata demikian selepas aksi menentang Penang yang menyaksikan Pahang meraih kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Kpah Sherman menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua.

Meskipun meraih kemenangan dan mengekalkan rekod tanpa kalah, namun pengendali dari Singapura itu kurang berpuas hati dengan penampilan yang ditunjukkan oleh anak buahnya.

“Kami mencipta peluang namun kehilangan tiga pemain di bahagian tengah iaitu Sergio Aguero, Stefano Brundo dan Azam Azih kerana kecederaan.

“Saya harap apabila kita turun menentang JDT, semua akan ok tetapi ketika ini kami sedikit sedikit risau kerana pemain yang boleh beraksi dalam kesebelasan utama tidak begitu ramai. Kalau kami boleh letak treler di hadapan gol, kami akan letak,” kata Fandi Ahmad.

Sri Pahang ketika ini terikat dengan Selangor dimana kedua-dua pasukan mempunyai 25 mata namun dibezakan dengan perbezaan gol yang meletakkan Selangor di tangga kedua dan Pahang ketiga.

Sekiranya kelab Pantai Timur itu berjaya mencipta kejutan dengan menewaskan JDT, maka mereka akan menamatkan rentak tanpa kalah skuad Harimau Selatan itu dalam saingan liga dan memintas Selangor.

Akan tetapi sekiranya perkara sebaliknya berlaku, maka Pahang akan merasai kekalahan pertama dalam saingan liga musim ini dan JDT akan mempunyai jarak mata yang lebih jauh berbanding mereka.