Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan kepercayaan terhadap pengendali pasukan negara, Tan Cheng Hoe untuk terus mengendalikan pasukan senior kebangsaan di peringkat antarabangsa.

FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menegaskan setakat ini tiada keperluan untuk menggunakan khidmat ketua jurulatih dari luar khususnya dari Jepun atau Korea Selatan seperti yang dicadangkan oleh legenda skuad kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun memandangkan Cheng Hoe berjaya menjalankan tugas beliau dengan baik.

Stuart Ramalingam
Sumber Gambar: FAM

“Saya menghormati saranan legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun bagi membawa pembaharuan kepada pasukan negara namun pada masa ini tiada perubahan akan dilakukan terhadap barisan kejurulatihan.

“Cheng Hoe berjaya mengendalikan Harimau Malaya dan taktikal yang diserapkan bekas pengendali Kedah itu ternyata berjaya membawa aura atau identiti bola sepak Malaysia ke dalam pasukan kebangsaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: SB

Sejak dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe, pasukan kebangsaan menampilkan peningkatan dari segi permainan dan juga prestasi di peringkat antarabangsa. Malaysia berjaya muncul sebagai naib juara saingan Piala AFF Suzuki 2018 dan menduduki tangga ketiga kejohanan Piala Airmarine 2019.

Ramai pihak mahu Cheng Hoe untuk terus mengendalikan pasukan negara kerana pemain dilihat selesa dengan corak permainan yang diterapkan beliau. Pasukan kebangsaan akan menghadapi Timor Leste pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2020.