Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia 2020 diwajibkan membuat akuan bersumpah kepada badan induk itu pada 15 Disember depan.

Katanya dalam Bernama, akuan bersumpah itu bertujuan untuk mengisytiharkan sebarang hutang yang masih belum diselesaikan pada musim ini, dan pelan untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan.

Antara hutang-hutang tersebut termasuk tunggakan gaji pemain dan tunggakan hutang dengan agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Kita meminta kesemua pasukan untuk membuat akuan bersumpah bukan bertujuan untuk menghukum pasukan berkenaan, tapi bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang hutang tertunggak, dan pelan untuk mengatasi masalah tunggakan berkenaan.

“Harus diingat semua pasukan harus bertanggungjawab terhadap segala hutang mereka, dan mereka harus bijak mencari jalan untuk menyelesaikan hutang-hutang mereka, dan tidak membawa hutang berkenaan pada musim depan,” jelas Stuart.

78700712_2521049137991835_9109983925282799616_o
FOTO: FAM

Sekiranya mana-mana pasukan gagal membuat akuan bersumpah mengenai hutang-hutang mereka pada tarikh yang ditetapkan, FAM sedia mengambil tindakan tegas jika menerima aduan daripada pemain yang masih mempunyai tunggakan gaji dengan pasukan tersebut.

“Sekiranya wakil pasukan tidak ada akuan bersumpah pada 15 Dis ini, saya meminta pemain terlibat untuk tampil membuat aduan kepada FAM supaya tindakan lanjut boleh diambil. Tindakan seperti ini bukanlah perkara baharu kerana ia merupakan peraturan yang sudah lama termaktub dalam FAM,” tegas Stuart.

Di samping itu, unit First Instance Body FAM (FIB) juga akan melakukan lawatan dan audit ke kelab-kelab berkenaan selepas 15 Disember 2019 bagi memastikan apa yang dinyatakan mereka dalam surat akuan bersumpah itu adalah benar, sebelum musim baharu Liga Super dan Liga Premier 2020 bermula.

Baca artikel lain mengenai perkembangan perlesenan kelab Liga Malaysia 2020 di sini:

Sembilan Pasukan Lulus Lesen Kelab Untuk Liga Super 2020

Tiga Pasukan Liga Super Gagal Hantar Dokumen Lengkap Perlesenan Kelab

PKNP FC Dan PKNS FC Sah Ditukar Kepada ‘Reserve Team’ Mulai Tahun 2020

Sumber