Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai 28 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, Osmera Omaro bagi menyertai kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula 18 hingga 29 Julai 2022 sebagai persiapan hadapi Piala AFF B-16 2022 di Yogyakarta, Indonesia, 31 Julai hingga 12 Ogos 2022.

24 pemain daripada senarai tersebut merupakan pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) manakala baki 4 lagi pemain adalah dari Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun, hanya 25 pemain akan berada dalam senarai akhir pasukan yang dijadual berlepas ke Yogyakarta pada 30 Julai ini.

Piala AFFB-16 2022 akan disertai 12 pasukan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan A menampilkan tuan rumah Indonesia, Vietnam, Singapura dan Filipina; Kumpulan B dibarisi Thailand, Timor-Leste, Laos dan Brunei manakala Kumpulan C diisi oleh Malaysia, Australia, Myanmar dan Kemboja.

Skuad Malaysia B-16 akan memulakan kempen saingan Kumpulan C bertemu Kemboja pada 2 Ogos, diikuti aksi berikutnya berdepan Myanmar pada 5 Ogos dan aksi terakhir kumpulan menentang Australia pada 8 Ogos 2022. Ketiga-tiga perlawanan di Stadium Maguwoharjo Sleman.

Tiga pasukan juara kumpulan serta satu pasukan terbaik di tempat kedua akan layak ke separuh akhir pada 10 Ogos manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan Final dijadual berlangsung pada 12 Ogos 2022 di Stadium Maguwoharjo Sleman.

Dengan pembatalan dua edisi berturut pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik COVID-19, Malaysia merupakan juara bertahan selepas skuad kendalian P. Maniam ketika itu menjuarai B-15 AFF 2019 di Chonburi menerusi kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah, Thailand pada aksi final.

Terdahulu, Malaysia pernah muncul juara Piala AFF B-16 buat kali pertama di Nay Pyi Taw, Myanmar dengan skuad kendalian S. Balachandran ketika itu berjaya menewaskan Indonesia 3-2 pada penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi final.