Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon bagi membawa cabaran skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023.

Lima pemain yang sebelum ini berada dalam senarai 28 pemain dipanggil ke kem latihan pusat sejak 29 November lalu tidak berada dalam senarai akhir tersebut iaitu penjaga gol, Azri Ab Ghani, Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah Usman, Aliff Izwan Yuslan serta Dion Cools (urusan peribadi).

Pemain yang terpilih ini sempat diuji dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kemboja (4-0) dan Maldives (3-0) sekaligus memberi ruang kepada Kim Pan-gon untuk membentuk barisan yang mantap.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Yangon pada Isnin, 19 Disember 2022 bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu, 21 Disember 2022 sebelum kembali ke tanah air, hari berikutnya.

Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember 2022, dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.

Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan 4 bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.