Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan penjualan ‘Tiket Kombo RM100′ bagi membolehkan penyokong setia Harimau Malaya menyaksikan kesemua enam perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun ini pada satu harga istimewa iaitu RM100 menerusi pembelian awal pada waktu terhad dari 16 hingga 29 Mei 2022 di www.tickethotline.com.my.

Dengan harga RM100 itu, penyokong akan dapat menonton perlawanan Bahrain lwn Bangladesh dan Turkmenistan lwn Malaysia pada Rabu, 8 Jun 2022, Bangladesh lwn Turkmenistan dan Malaysia lwn Bahrain pada Sabtu, 11 Jun 2022 serta Bahrain lwn Turkmenistan dan Malaysia lwn Bangladesh pada Selasa, 14 Jun 2022, kesemuanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil iaitu satu perlawanan sebelah petang dan satu lagi perlawanan (membabitkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon) sebelah malam.

Menurut Naib Presiden FAM, Dato’ Posa Haji Majais selaku Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM, pengenalan ‘Tiket Kombo RM100’ itu dibuat bagi memudahkan para penyokong setia Harimau Malaya yang ingin hadir pada ketiga-tiga Hari Perlawanan tersebut tanpa perlu membuat pembelian tiket secara berasingan, selain dapat menikmati diskaun harga sebanyak hampir 20 peratus.

“FAM berprihatin terhadap penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga Hari Perlawanan bagi saingan kelayakan Kumpulan E ini dan sebagai tanda penghargaan daripada FAM, kita memperkenalkan ‘Tiket Kombo RM100’ ini supaya ia dapat memudahkan mereka (penyokong), selain memberikan sedikit penjimatan dari segi harga.

“Bagaimanapun, tawaran ‘Tiket Kombo RM100’ ini hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh selama dua minggu sahaja iaitu bermula Isnin depan, 16 Mei 2022 sehingga Ahad, 29 Mei 2022 secara pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.my.

“Selepas berakhir tempoh tersebut, penjualan akan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 bagi setiap Hari Perlawanan.”

“Sebagai contoh, untuk Hari Perlawanan 1 pada 8 Jun 2022, penyokong boleh menonton dua perlawanan iaitu Bahrain lwn Bangladesh pada sebelah petang dan Turkmenistan lwn Malaysia pada sebelah malam, dengan pembelian satu tiket pada hari perlawanan tersebut.

“Jadi kepada penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga Hari Perlawanan, tidak perlu membeli tiket RM40 secara berasingan sebanyak tiga kali yang harganya akan berjumlah RM120, sebaliknya lebih mudah dan jimat jika anda membeli saja ‘Tiket Kombo RM100′ ini,” kata Dato’ Posa pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Yang turut hadir pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar serta Bendahari FAM yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM, Dato’ Haji Ismail Karim.

Selain ‘Tiket Kombo RM100′ (untuk 3 Hari Perlawanan) dan tiket RM40 (untuk 1 Hari Perlawanan) ini yang mana kedua-duanya adalah bagi tiket kategori tempat duduk Terbuka, FAM turut memperuntukkan penjualan sebahagian tiket untuk kategori tempat duduk Grandstand yang berharga RM60 untuk 1 Hari Perlawanan.

Tiket kanak-kanak pula berharga RM7 untuk 1 Hari Perlawanan iaitu bagi yang membawa anak berusia 6 hingga 12 tahun.

Setiap penyokong boleh membeli maksimum sebanyak lima tiket dan setiap pembelian kesemua jenis kategori tiket di atas akan dikenakan tambahan caj pemprosesan dan caj bank, masing-masing mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Tambah Dato’ Posa: “Promosi ‘Tiket Kombo RM100’ ini hanya untuk tiket kategori tempat duduk Terbuka sahaja dan bagi tiket kategori tempat duduk Grandstand, tiada penjualan secara kombo. Selain penjualan ‘Tiket Kombo RM100′ dari 16 hingga 29 Mei 2022, penjualan tiket Terbuka RM40 dan tiket Grandstand RM60 turut akan bermula pada 16 Mei 2022 sehingga ke hari perlawanan.

“Kita berharap agar para penyokong Harimau Malaya dapat memanfaatkan sepenuhnya kebenaran untuk kapasiti penuh kehadiran ke stadium menerusi SOP terkini COVID-19 daripada kerajaan dengan Stadium Nasional, Bukit Jalil ini akan dipenuhi sehingga 80,000 orang penonton kerana kita mahukan skuad Harimau Malaya kita beraksi dengan penuh bersemangat untuk melakar sejarah Malaysia layak ke Piala Asia 2023 di China.”

Sementara itu, Dato’ Posa turut mengumumkan harga tiket bagi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 iaitu Malaysia bertemu Myanmar pada Jumaat, 27 Mei 2022 dan Malaysia bertemu Hong Kong pada Rabu, 1 Jun 2022 yang mana kedua-dua perlawanan tersebut turut akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon menghadapi tiga aksi kelayakan Kumpulan E itu nanti.

“Bagi perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong ini, harga tiket yang telah ditetapkan ialah pada satu harga saja iaitu RM30 dewasa dan RM7 kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) bagi setiap perlawanan, tidak termasuk tambahan caj pemprosesan dan caj bank. Tiada tiket kategori Grandstand bagi kedua-dua perlawanan ini.

“Penjualan tiket perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong ini turut akan dibuka mulai 16 Mei 2022 dan sama juga syaratnya, maksimum lima tiket bagi setiap pembelian,” ujar beliau.

Sebagai makluman tambahan, kesemua tiket bagi perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E serta dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Myanmar dan Hong Kong ini hanya akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium.

Sumber