Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan secara rasmi bahawa bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah dilantik sebagai pengarah teknikalnya yang baharu berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

Kim Swee, 50, diberi tugas untuk menggalas jawatan Pengarah Teknikal FAM itu bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter de Roo.

Bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an itu sebelum ini memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknikal FAM merangkap Ketua Unit Belia FAM.

Kim Swee memulakan karier kejurulatihannya dengan menjadi ketua jurulatih Melaka sebelum namanya melonjak sebagai jurulatih yang berjaya mencungkil bakat-bakat muda negara bermula sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan seterusnya menjadi peneraju utama skuad Harimau Muda.

Kemuncaknya, Kim Swee berjaya membawa skuad B-23 kebangsaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia dan disusuli pingat perak Sukan SEA 2017 di laman sendiri, selain turut mengemudi pasukan muda negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Beliau turut pernah dilantik sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan sebanyak dua kali iaitu dari 3 Februari 2014 hingga 28 Jun 2014 selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat dan dari 5 September 2015 hingga 18 Januari 2016 selepas Dollah Salleh meletak jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

Kim Swee kemudian akhirnya dilantik secara penuh sebagai ketua jurulatih kebangsaan dari 18 Januari 2016 hingga 25 Mac 2017 dan selepas itu, beliau diamanahkan pula untuk mengendalikan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Dengan pengalaman luas beliau sebagai pemain dan jurulatih di pelbagai peringkat, Kim Swee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dilihat sebagai calon terbaik bagi mengisi jawatan Pengarah Teknikal FAM ini.

Jangan lupa untuk terus membaca 3 artikel terpilih VOCKETFC seperti dibawah.

Senarai Top 10 Artikel Vocket FC Paling Popular Sepanjang Tahun 2020

Mohamadou Sumareh Ucap Terima Kasih Kepada Police Tero FC, Siap Sedia Untuk 2021 Secara Mental Dan Fizikal

FPL Manager Of The Week Pasukan ‘Bachok Selatan’ Dan Nama Pengurus ‘Mus Tahil’ Jadi Tumpuan Dunia

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group