Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro sebagai pemegang hak penyiaran bersama bagi kesemua empat perlawanan skuad Harimau Malaya di gelanggang sendiri untuk Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan G akan mengharungi lapan perlawanan keseluruhan, bermula dengan aksi sulung bertemu Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada Khamis ini, 5 September 2019 dan diakhiri aksi terakhir kumpulan berdepan Thailand di Bangkok pada 9 Jun 2020.

Sepanjang tempoh sembilan bulan itu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akan beraksi empat kali di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 September 2019, Thailand (14 November 2019), Indonesia (19 November 2019) dan Vietnam pada 31 Mac 2020.

Keempat-empat perlawanan di gelanggang sendiri itu akan disiarkan secara langsung di RTM menerusi saluran TV1 dan RTM HD Sports, dan di Astro menerusi saluran Astro Arena 801 & 802 HD. Aksi Harimau Malaya di Astro Arena juga akan dapat ditonton secara percuma oleh semua pelanggan Njoi.

FA5E9BAB-DD7D-4F0C-846A-0D9F80227E65

Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin menegaskan pemilihan RTM dan Astro adalah demi memastikan aksi skuad Harimau Malaya dapat ditonton oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

“Siaran langsung perlawanan skuad Harimau Malaya ini boleh ditonton di saluran televisyen percuma (RTM) atau di saluran berbayar (Astro). Tiada sebab untuk mereka tidak dapat menonton siaran langsung.

“Jadi besarlah harapan saya supaya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan lapisan masyarakat, bersama-sama memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya kita demi memastikan keputusan positif dapat dicapai.”

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo berharap dengan RTM turut berperanan selaku penyiar rasmi pusingan kelayakan ini, ia dapat menggembirakan seluruh rakyat Malaysia terutama yang tidak melanggan saluran televisyen berbayar.

“Selama ini kita sering mendengar permintaan peminat dan penyokong bola sepak Malaysia yang mahukan RTM turut menyiarkan siaran langsung perlawanan membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

“Dengan kerjasama bersama FAM kali ini, saya cukup bangga kerana apa yang diminta oleh rakyat Malaysia itu telah direalisasikan. Bola sepak adalah untuk semua dan saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat sama-sama menonton perlawanan secara langsung itu nanti,” kata Gobind.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay turut menyatakan komitmen berterusan Astro kepada bola sepak Malaysia khususnya skuad kebangsaan, Harimau Malaya dengan siaran langsung perlawanan serta penerbitan program berkaitan yang diharap dapat menaikkan semangat para peminat, penyokong dan pemain sendiri.

“Sudah tentu Astro gembira kerana sekali lagi diberikan hak penyiaran untuk kempen kelayakan kali ini. Kami akan pastikan semangat dan cabaran skuad Harimau Malaya dalam Kumpulan G ini bukan sahaja disaksikan secara langsung, tetapi penerbitan program yang bakal menyediakan nilai tambah bagi memperkukuhkan lagi sokongan peminat kepada pasukan negara,” ujar Choong Khay.

Artikel lain berkaitan dengan Harimau Malaya menjelang perlawanan bertemu Indonesia.

Khalid Jamlus Mahu Shahrel Fikri Lupakan Seketika Masalah Perak, Tumpu Pada Harimau Malaya

FAM Minta PSSI Sediakan Barracuda Untuk Skuad Harimau Malaya