Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan beberapa perubahan untuk pertandingan di peringkat akar umbi termasuk Piala Presiden dan Piala Belia.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Perubahan tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM dalam mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 yang dipengerusikan oleh Dato’ S. Sivasundaram pada Khamis, 11 Ogos 2022.

Antara perubahan tersebut ialah pertukaran had umur untuk kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia serta pertandingan program akar umbi seperti Liga SupaRimau.

“Jawatankuasa memutuskan supaya had umur bagi pertandingan Piala Presiden diubah dari B-21 ke B-20 manakala Piala Belia dari B-19 ke B-18 supaya selaras dengan kitaran had umur bagi pertandingan AFC,” tulis kenyataan rasmi.

Mulai musim depan, Liga Super bakal berwajah baharu apabila disertai oleh 18 pasukan yang turut akan disokong oleh Liga Simpanan (Reserve League) yang menjadi pentas kepada pembangunan pemain bawah 23 tahun (B-23).

Jarak umur pemain Piala Presiden dan Piala Belia adalah begitu besar dan mantan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee sebelum ini mencadangkan agar Liga Simpanan ini diwujudkan bagi memastikan perkembangan pemain muda dengan mendapat minit permainan.

Selain itu, FAM turut memperkasakan program melibatkan pemain bawah 16 tahun dalam misi untuk melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti.

“Program akar umbi bagi tahun 2023 akan diperkasakan dengan matlamat untuk mendapatkan keahlian emas Piagam Akar Umbi AFC yang mana FAM kini memegang keahlian perak.

“Liga SupaRimau B-12, B-14 dan B-16 akan dimainkan sehingga pusingan akhir peringkat kebangsaan (liga secara kompetitif) manakala bagi kategori B-6, B-8 dan B-10 akan lebih fokus ke arah pembangunan iaitu tanpa carta kedudukan liga kerana ia akan dijalankan secara konsep festival,” tulis kenyataan rasmi.

Liga Suparimau

FAM juga mengesahkan akan menggunakan platform FIFA Talent Development Scheme (TDS) untuk mengenal pasti, melatih dan melantik pencari bakat dalam semua jenis pertandingan di seluruh pelosok negara.

“Pencari bakat ini bukan saja dalam kalangan jurulatih tetapi juga individu yang mempunyai kebolehan tersebut. TDS merupakan platform yang disediakan FIFA kepada ahli-ahli gabungannya untuk membantu individu-individu yang terlibat ini melakukan pencarian bakat dengan cara dan kaedah yang bersistematik,” tambahnya.

Dengan peningkatan program di peringkat akar umbi, diharapkan dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam kalangan anak tempatan sekaligus mewakili Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS

RASMI: Selangor Umum Nidzam Jamil Sebagai Ketua Jurulatih Sementara

TRW Kelantan Jadikan Tuntutan Kes Fitnah Sebagai Sedekah

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1