Selepas menerima pelbagai reaksi daripada penyokong Harimau Malaya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan bahawa harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Laos dan Singapura akan diturunkan kepada serendah RM30.

Isu penjualan tiket tersebut menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan baru-baru ini apabila FAM menetapkan harga yang terlalu mahal dan tidak mampu dibeli oleh seorang penyokong setia.

Bagaimanapun, FAM telah membuat keputusan untuk turunkan lagi harga tiket tersebut setelah mendengar keluhan daripada para penyokong.

Tiket Terbuka yang sebelum ini berharga RM50 dan RM45, kini diturunkan kepada RM30; tiket Premium yang sebelum ini berharga RM70 dan RM60, kini diturunkan ke RM50; tiket Grandstand yang sebelum ini berharga RM100 dan RM70, kini diturunkan ke RM60; manakala tiket kanak-kanak (6-12 tahun) yang sebelum ini berharga RM10, kini diturunkan ke RM5.

“Untuk makluman semua, peningkatan harga tiket bagi edisi 2022 ini berbanding edisi 2018 terpaksa dibuat oleh FAM disebabkan peningkatan kos-kos berkaitan dalam tempoh empat tahun ini termasuk kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

“Selepas mengambil kira keluhan penyokong, FAM semalam telah mengumumkan untuk penurunan harga tiket asal berkenaan kepada RM45 bagi tempat duduk terbuka, RM60 tempat duduk Premier dan RM70 tempat duduk Grandstand, namun rata-rata penyokong masih mengharapkan penurunan harga yang lebih,” kata Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin.

Selepas pelbagai pandangan, penelitian dan perincian dibuat, maka Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM telah bersetuju supaya harga tiket berkenaan dikurangkan lagi bagi memastikan ia dapat diterima oleh semua penyokong.

“Sebagai Presiden FAM, saya perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya yang mana kita mahu peningkatan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon ketika ini dapat berjalan seiring dengan sokongan padu kehadiran penyokong di stadium pada setiap perlawanan.

“Saya juga berprihatin dengan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak stabil dan mengambil kira juga majoriti penyokong bola sepak adalah daripada golongan B40 yang mana pengurangan harga tiket kepada serendah RM30 ini diharap mampu menggalakkan lagi kehadiran penyokong ke stadium di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022,” jelas Hamidin.

Bagaimanapun, FAM tidak dapat memberikan harga promosi kombo seperti yang pernah dibuat ketika Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu kerana perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 hanya membabitkan dua perlawanan yang mana jaraknya agak jauh iaitu beza 10 hari bagi kedua-dua perlawanan, berbanding tiga perlawanan dalam tempoh selang tujuh hari pada Kelayakan Piala Asia 2023.

Bagi penyokong yang telah pun membeli tiket berkenaan pada harga asal ataupun harga yang telah diturunkan semalam, proses pemulangan (refund) untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline.