Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu maklum balas dari Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai denda yang dikenakan akibat daripada insiden kekecohan penyokong ketika perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, November lalu.

FIFA mengenakan denda sebesar RM211,560 dan FAM telah menghantar surat bagi mengetahui lebih lanjut terma keputusan yang menjadi rujukan FIFA, namun masih belum menerima sebarang jawapan sebelum tindakan lanjut berbentuk rayuan rasmi dibuat kepada badan induk dunia itu.

FAM
Sumber Gambar: FAM

“Jika dilihat kepada penerangan nilai denda itu ditetapkan, pengiraan proses diambil, kami boleh bersetuju atau tidak dengan kata putus daripada FIFA itu. Sekarang kami tahu RM50,000 tetapi tidak tahu bagaimana ia dicapai,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menurut laporan Stadium Astro.

Tambah Stuart, proses rayuan yang akan dihantar oleh FAM bergantung kepada penerangan yang akan diberikan FIFA sama ada wajar untuk pihaknya membuat rayuan ataupun tidak.

FAM
Sumber Gambar: SB

“Kalau penerangan itu jelas, rayuan mungkin tidak akan diterima. Dalam setiap rayuan, bayaran dikenakan berjumlah 1,000 Swiss Franc (RM4,186). Jika kami fikir keputusan itu jelas, kami juga tidak mahu membazirkan duit,” ujarnya.

FIFA mendenda FAM kerana persatuan itu dianggap melanggar peraturan dalam artikel 16 dan 26 yang menyentuh mengenai keselamatan penyokong ketika aksi menentang Indonesia.

Baca artikel lain mengenai insiden kekecohan penyokong di SNBJ di sini:

PSM Sahkan 44 Kerusi Di Stadium Nasional Bukit Jalil Rosak Ketika Perlawanan Malaysia-Indonesia

PSM Tuntut Ganti Rugi Kepada FAM Untuk Kerosakan Yang Dilakukan Penyokong Indonesia