Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan mereka masih belum menerima laporan daripada Komisioner perlawanan berhubung tindakan penjaga gol Selangor, Farizal Harun yang menampar pemain PKNP FC, Mohamad Al-Fateh Afandi pada perlawanan Liga Super 2019 yang melibatkan kedua-dua pasukan Sabtu lalu.

Pada minit ke-53, pengadil perlawanan memberikan sepakan penjuru untuk PKNP FC. Farizal kemudiannya dilihat menampar muka Al-Fateh apabila pemain itu mendekati beliau. Pengadil kemudiannya tidak mengambil sebarang tindakan dan hanya mengarahkan untuk perlawanan diteruskan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, insiden tersebut dipandang serius dan tindakan akan diambil sekiranya Farizal didapati bersalah.

“Saya belum menerima sebarang laporan. Selalunya jawatankuasa disiplin dan tatatertib akan mengemas kini laporan selepas menerima aduan dari Komisioner perlawanan dan pengadil. Kita akan melihat dan bertanya dahulu insiden ini kepada MC dan pengadil.

“Jika tindakan itu tidak dapat dilihat oleh pengadil dan MC, maka, kita akan gunakan video sebagai rujukan. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kesalahan ini,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

abu-bakar-fadzim-pknp-fc
Sumber Gambar: PKNP FC

Pada masa yang sama, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim turut menyelar tindakan Farizal Harun ke atas pemain beliau. Menurut Abu Bakar, tiada sebarang provokasi yang dilakukan oleh Al-Fateh dan penjaga gol berusia 33 tahun itu tidak sepatutnya bertindak sedemikian.