Dua pemain asing iaitu Marcel Kalonda dan Harry Edge kini menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila mereka dikatakan mempunyai darah campuran Malaysia untuk dijadikan sebagai pemain berstatus warisan negara.

Marcel merupakan pemain pertahanan berusia 22 tahun dan ketika ini beraksi di Liga Zambia. Beliau mula menjadi perbualan setelah diletakkan sebagai pemain dari Malaysia dalam permainan Football Manager 2020.

Menurut Marcel, beliau dilahirkan di Kolwezi, ibu negara Congo dan bukan di Malaysia. Namun, Marcel mengesahkan datuk beliau berasal dari Sabah dan beliau pernah berkunjung ke sana sejak kecil.

Seorang lagi pemain, Harry merupakan pemain tengah yang pernah beraksi di Eredivisie serta liga New Zealand dan ketika ini beliau beraksi bersama kelab Sweden, Torslanda IK.

Menerusi media sosial Twitter baru-baru ini, bapa Harry iaitu Declan Edge yang dilahirkan di Melaka berkata anaknya terbuka untuk beraksi bersama Malaysia di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, menjelaskan pihaknya sudah pun menghubungi dua pemain itu dan sedang menunggu beberapa dokumen untuk dinilaikan.

“Apabila kami sudah mengesahkan bahawa mereka berdua ada darah warisan Malaysia, kami boleh memulakan proses untuk menjadikan mereka sebagai pemain berstatus warisan.

“Apapun, selepas setiap dokumen yang berkaitan sudah selesai kami kenal pasti, kami akan menilai mereka melalui jawatankuasa teknikal kami.

“(Selepas kami hubungi) mereka memberikan jawapan bahawa mereka akan menyediakan segala dokumen yang diperlukan.

“Sekarang ini, kami sedang menunggu mereka memulangkan dokumen itu semula agar kami dapat melihat sama ada dokumen itu boleh diterima atau tidak,” katanya menerusi satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena.

Baca artikel lain mengenai pemain kacukan dan naturalisasi pasukan negara di sini:

Malaysia Bakal Punyai Pemain Pertahanan Asean Termahal Jika Johan Dion Cools Sarung Jersi Harimau Malaya

FIFA Benarkan Liridon Krasniqi Sarung Jersi Harimau Malaya Dalam Kelayakan Piala Dunia 2022

Kobe Chong: Satu Penghormatan Besar Untuk Wakili Malaysia