Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan pihaknya pernah menerima jemputan daripada juara Piala Dunia 2022, Argentina untuk mengadakan perlawanan persahabatan tahun lepas.

Bagaimanapun, ia terpaksa ditolak kerana pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak mahu perlawanan itu berlangsung.

“Saya ada hubungan yang baik dengan Argentina juga dan mereka ada menjemput kita tetapi Pan Gon tak mahu. Kalau nak adakan persahabatan, kena pasukan yang realiti,” kata Hamidin dipetik dalam Berita Harian. 

Jumlah
Datuk Hamidin Mohd Amin

Selain Argentina, satu lagi pasukan gergasi dunia, Brazil juga berminat untuk menguji kekuatan Harimau Malaya namun Hamidin berpendapat pertembungan itu belum lagi realistik.

“Brazil nak lawan (ketika Majlis FIFA) tetapi saya taknak kerana ini bukan masanya. Saya boleh buat kalau setakat nak tunjukkan (gah) tetapi bukan masanya dan Pan Gon tak mahu.

“Kita dan Brazil sama sama Ahli Majlis FIFA tetapi belum masanya lagi, mungkin apabila tiba masa yang tepat. Kalau setakat main untuk populariti, mungkin mereka boleh dapatkan orang lain,” jelas Hamidin.

Sebagai rekod, Malaysia pernah menentang Brazil yang dibarisi oleh Ronaldo, Rivaldo dan Cafu pada tahun 2002.  Argentina akan ke asia tenggara minggu depan untuk bertemu Indonesia.

Menurut laporan media tempatan, PSSI mengeluarkan dana sebanyak 70 Billion Rupiah atau sekitar USD16 Juta bagi mengadakan perlawanan menentang pasukan dari benua Amerika Selatan itu.

Baru-baru ini peminat bola sepak tempatan mengkritik tindakan FAM memilih Papua New Guinea sebagai lawan kedua skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa bulan Jun ini selepas Yaman terpaksa menarik diri.

Hal ini kerana Papua New Guinea (159) berada di ranking FIFA lebih rendah daripada Malaysia dan dianggap pasukan yang lemah. Namun, FAM tiada pilihan kerana slot pasukan lain sudah penuh.

“Kita sukar untuk mencari pasukan lain kerana jadual mereka sudah penuh tetapi kita dapat juga pasukan untuk aksi persahabatan. Ranking mereka juga tidak jauh beza, hanya dua anak tangga.

“Untuk mencari pasukan dari Arab yang sama seperti Yaman pun, semua slot sudah ditutup. Jadi kita bernasib baik kerana dapat juga pasukan,” katanya.