Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menegaskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membuat sebarang aduan kepada mereka mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud menjelaskan pihaknya tidak menerima aduan daripada badan induk bola sepak negara itu mengenai keadaan permukaan padang sebelum perlawanan menentang Timor Leste pada Jumaat.

Kata Razeen, wakil Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga turun padang memeriksa padang pada Khamis dan mendapati ia boleh digunakan.

Faiz Nasir
Sumber Gambar: FAM

“Mereka nasihat supaya tiada latihan di padang bagi elak ia rosak. Jadi kedua-dua pasukan berlatih di luar, tapi dibenar untuk tinjau keadaan padang.

“Biasanya untuk bola sepak ketinggian rumput 25 milimeter. Tapi untuk perlawanan semalam kita potong sehingga 22 milimeter ikut permintaan FAM supaya pergerakan bola lancar dalam keadaan padang basah dan lembap,” kata Razeen menurut laporan Harian Metro.

Kualiti padang di SNBJ sekali lagi menjadi kritikan peminat apabila permukaan yang tidak rata sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan pasukan negara.

Ramai pihak mendesak supaya PSM dan FAM menyelesaikan masalah permukaan padang dengan segera agar ianya tidak menjadi halangan buat pasukan kebangsaan pada masa akan datang.