Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan rasmi melanjutkan tempoh sehingga 3 bulan kepada setiap anggota untuk menghantar bidaan sebagai tuan rumah bagi penganjuran Piala Asia pada tahun 2027.

Disebabkan seluruh dunia terjejas susulan penyebaran wabak COVID-19, AFC mengumumkan tarikh 31 Mac 2020 hingga 30 Jun kepada negara yang berminat untuk menghantar permohonan rasmi menjadi tuan rumah kejohanan berprestij Asia itu.

Ia membangkitkan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang berharap Malaysia dapat menganjurkan kejohanan tersebut di masa yang akan datang selepas kali terakhir menjadi penganjur bersama pada tahun 2007.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan Malaysia tidak mungkin membida hak sebagai tuan rumah Piala Asia 2027 kerana ia memerlukan kerjasama daripada pihak kerajaan.

“Kami belum bersedia untuk menjadi tuan rumah Piala Asia.

“Kami memerlukan penglibatan kerajaan dan pada masa ini, ia bukan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan tentang perkara itu,” katanya seperti dipetik dalam New Straits Times.

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam. Sumber Gambar: mStar

Ketika ini, hanya Arab Saudi yang sudah menghantar permohonan rasmi kepada AFC untuk membida hak sebagai tuan rumah.

Arab Saudi yang merupakan juara Piala Asia sebanyak 3 kali setakat ini tidak pernah menjadi tuan rumah kejohanan itu selepas kali terakhir mereka cuba membida hak tuan rumah ialah pada tahun 2007.

Selain itu, Stuart turut mendedahkan satu perjumpaan bersama wakil dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam bagi membincangkan tentang bidaan Asean sebagai tuan rumah untuk penganjuran Piala Dunia 2034 sepatutnya diadakan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana wabak COVID-19.

Idea untuk menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu telah dicadangkan oleh Pengerusi ASEAN, Jeneral Prayuth Chan o-cha, yang juga merupakan Perdana Menteri Thailand ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Thailand pada bulan jun 2019.

“Sepatutnya ada satu perjumpaan pada bulan lepas di Indonesia tetapi ia ditangguhkan,” kata Stuart.

Untuk Piala Asia 2023, AFC sudah pun mengumumkan China sebagai tuan rumah rasmi dimana perlawanan akan berlangsung di 10 bandaraya yang terpilih.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Ramalan Arsene Wenger Kini Menjadi Kenyataan, Nguyen Tuan Anh Pemain Paling Berbakat Di Mata ‘Le Professeur’

Son Heung-min Sertai Kem Latihan Tentera Selama Empat Minggu

8 Buah Kelab Thai League Miliki ‘In-House Production’ Jersi, ‘Freedom’ Hasilkan Produk Mengikut Demografik