Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan mereka tidak berhasrat untuk menjadi tuan rumah bagi baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Jun nanti.

Menurut laporan Astro Arena, FAM mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka tidak mahu menjadi tuan rumah dengan merujuk kepada keadaan semasa pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

“Pada masa ini tidak kerana kesukaran di peringkat domestik. Perlu kita tahu jika kita membida, kita perlu mempunyai pengesahan mengenai beberapa perkara. Dengan SOP yang ketat di peringkat domestik, saya rasa Malaysia tidak patut untuk membida untuk menjadi tuan rumah,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Tempoh bidaan yang dibukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan berakhir pada 5 Mac ini dan keputusan mengenai negara mana yang akan menjadi tuan rumah bagi baki perlawanan kumpulan G akan diketahui pada 15 Mac nanti.

Tambah Stuart, penundaan perlawanan kelayakan kepada bulan Jun nyata melegakan skuad negara dan kini apa yang penting ialah skuad kendalian Tan Cheng Hoe perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi baki perlawanan.

Malaysia akan turun menentang Vietnam, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Thailand pada perlawanan bulan Jun nanti.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Sri Pahang Tandatangani Pedro Henrique, Isi Kuota Pemain Import Asean

Jendela Perpindahan Pertama Liga Malaysia 2021 Yang Sepatutnya Ditutup Esok Dilanjutkan Hingga 5 Mac

Kisah Penswastaan Kedah FC Dari Sisi Shaizuan Flumen Holdings Sdn Bhd Yang Peminat Kedah Perlu Tahu