Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan mengapa pemain tengah pasukan itu, Nazmi Faiz Mansor dihantar pulang setelah menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Menurut TMJ, Nazmi mengalami kecederaan bahagian pangkal paha dan perlu dihantar pulang ke JDT kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai pusat pemulihan khas untuk Nazmi terus melanjutkan rawatan di sana.

“Nazmi Faiz dihantar balik ke JDT untuk sesi pemulihan, kerana pasukan kebangsaan tidak mempunyai Recovery Centre. Kini Nazmi sedang menjalani rawatan pemulihan,” kata TMJ.

Selepas kehilangan Nazmi ekoran kecederaan pangkal paha, ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon bagaimanapun memutuskan untuk tidak akan memanggil pemain gantian dan kem latihan pusat akan diteruskan dengan jumlah 29 pemain.

Sebelum ini, pasukan negara tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan JDT, Syahmi Safari yang mendapat pelepasan khas ekoran kelahiran anak kembar tiganya. Seorang lagi pemain pertahanan, Rizal Ghazali pula menolak panggilan kem latihan pusat tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Dua pemain yang berpangkalan di luar negara, Liridon Krasniqi (Odisha FC) dan Dion Johan Cools (Zulte Waregem) juga masih belum menyertai kem latihan pusat yang sudah berlangsung selama lima hari. Hanya Luqman Hakim (KV Kortrijk) yang sudah menyertai sesi latihan.

Skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari bermula pada Isnin, 14 Mac 2022 sebelum dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac 2022.

Malaysia akan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) bertemu Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022, ketiga-tiganya berlangsung di Singapura.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

TMJ: Kos Padang Tak Sampai RM1 Juta, Siapa Cakap Lebih Dia Penipu

Rezal Zambery Tak Ambil Mudah Cabaran Skuad Projek FAM-MSN

JDT Luaskan Kuasa Bersama Snoop Dogg