Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan peraturan baharu dalam pengambilan pengadil perlawanan bagi memastikan insiden di Larkin yang membabitkan Fitri Maskon minggu lalu tidak berulang pada semua perlawanan Liga Malaysia yang akan datang.

Perlawanan diantara Johor Darul Ta’zim menentang Felda United minggu lalu dicemari oleh tiga layangan kad ke atas pemain Felda iaitu Zhahril Azri, Thiago Aquino dan Hadin Azman. Selain itu, keputusan Fitri yang memberikan masa tambahan sehingga lapan minit turut mengundang kontroversi.

https://www.youtube.com/watch?v=X6et1oMT2PI&feature=youtu.be

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata kaedah yang digunakan sebelum ini nyata memperlihatkan kepincangan dimana seorang pengadil dibenarkan untuk mengadili perlawanan yang membabitkan pasukan negeri kelahirannya jika beliau didaftarkan di tempat yang berbeza.

“Sebelum ini, kami hanya melihat di mana pengadil itu berdaftar. Kini, kami perlu melihat lebih selapis lagi tentang negeri kelahirannya juga. Kami tidak mahu isu itu timbul lagi selepas ini,” kata Yusoff menurut laporan Stadium Astro.

Tambah Yusoff, pihaknya masih mencari mekanisma terbaik agar pemilihan serta kredibiliti pengadil tidak lagi dipersoalkan pada masa akan datang. Beliau turut menyatakan pentingnya mutu pengadilan dipertingkatkan bagi menjamin kemajuan Liga Malaysia itu sendiri.

Apa yang pasti, FAM perlu mengambil pendekatan yang serius dalam menyelesaikan isu pengadilan dalam saingan Liga Malaysia. Masalah ini sudah lama berlaku namun tiada jalan penyelesaian yang efektif untuk memperbaiki kelemahan yang ketara.