Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Kia menerusi syarikat pengedarnya, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto).

Kerjasama strategik bersama DJM itu akan menyaksikan tiga unit kenderaan utiliti besar (GUV) model terbaharu Kia iaitu Kia Carnival 2022 bakal digunakan oleh FAM serta barisan jurulatih skuad Harimau Malaya.

Kenderaan ini akan memudahkan urusan kerja Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon melakukan pemerhatian terhadap pemain-pemainnya di seluruh negara selain digunakan untuk melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.

FOTO: FAM

Menurut Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, kerjasama bersama DJM ini telah bermula pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu namun kerjasama berkenaan ketika itu khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.

“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian DJM untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.

“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana.

“Harapan saya menerusi jalinan kerjasama bersama DJM, ia dapat memberi motivasi kepada skuad Harimau Malaya untuk terus melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” kata Datuk Haji Hamidin.

FOTO: FAM

Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Amer Hamzah Ahmed berkata DMJ komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia di mana sukan adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Malaysia Antara 4 Pasukan Terbaik Dunia Alami Kenaikan Mendadak Dalam Ranking FIFA

Kim Dong-jin Bakal Jurulatih Baharu Skuad Malaysia B-23?

Christophe Gamel Sedia Isi Jawatan Ketua Jurulatih Skuad B-23 Malaysia