Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) difahamkan sedang membuat penilaian untuk megimplementasikan penggunaan Video Assistant Referee (VAR) dalam kancah Piala FA dan Piala Malaysia pada musim hadapan.

Perkembangan terkini itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Ke-6 bagi Penggal 2021-2025 di Kelana Jaya, sebentar tadi.

Penggunaan teknologi tersebut sememangnya amat diperlukan di Malaysia tatkala kualiti pengadilan sesuatu perlawanan pada ketika ini kelihatan amat menghampakan.

Begitu banyak keputusan yang meragukan serta kesilapan dilakukan oleh para pengadil tempatan ketika mengadili perlawanan.

Aksi Sri Pahang bertemu Kedah Darul Aman (KDA) dan PJ City pada awal Liga Super 2022 boleh dijadikan hujah kuat sebagai contoh untuk memperlihatkan kelemahan kualiti pengadilan dimana FAM sendiri mengakui kesilapan tersebut.

Malah, Jawatankuasa Pengadil FAM turut mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai perlawanan yang bertugas pada pertemuan Sri Pahang menentang Kedah kerana beberapa kesilapan dibuat termasuk membatalkan jaringan padukan Sri Pahang.

Difahamkan FAM telah bertindak menggantung pegawai-pegawai perlawanan tersebut daripada sebarang tugasan perlawanan.

Bagaimanapun sekiranya projek VAR yang dilakukan oleh Singapura menjadi rujukan, proses untuk memperkenalkan teknologi ini nyata bukanlah satu kerja mudah.

Hal ini kerana Ketua Pengarah Unit Pengadil Singapura, Nazeer Hussain mendedahkan bahawa proses pelaksanaan VAR boleh mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan mengikut Program Bantuan dan Kelulusan Pelaksanaan (IAAP) yang dibangunkan oleh Persektuuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).