Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menangguhkan sementara pengambilan pemain naturalisasi untuk skuad Harimau Malaya. Perkembangan itu disahkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin melalui laporan dalam Harian Metro. 

Menurut Hamidin, tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia serta Jawatankuasa Program Naturalisasi akan membentangkan laporan lengkap pada bulan November nanti sebelum membuat keputusan rasmi.

“Ini salah satu perkara (pemain naturalisasi) yang dibenarkan di dalam FIFA. Walau bagaimanapun pada mesyuarat tadi memutuskan projek naturalisasi ini kita akan menunggu daripada tiga jawatankuasa yang akan berbincang dan perhalusi sebelum bawa ke mesyuarat Exco.

“Buat ketika ini, projek naturalisasi daripada FAM ditangguhkan,” katanya pada sidang media secara maya.

Pemain Naturalisasi
Sumber Gambar: FAM

Ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022, tiga pemain naturalisasi negara iaitu Guilherme De Paula, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi gagal mempamerkan persembahan seperti yang diharapkan.

Namun begitu, pasukan Liga Malaysia masih dibenarkan mengambil pemain naturalisasi seperti mana dilakukan pasukan Pahang yang mengambil Mohamadou Sumareh pada tahun 2018 lalu.

“Bagaimanapun, ada kelab-kelab yang mahu menaturalisasikan seperti Sumareh semasa berada di Pahang dulu, tiada halangan. Namun untuk FAM (buat skuad Harimau Malaya), kita tangguhkan buat sementara dan kita menunggu laporan daripada jawatankuasa terbabit,” katanya.

Isu naturalisasi ini timbul apabila skuad negara kekurangan penyerang tempatan yang berkualiti. Walaupun pemain seperti Syafiq Ahmad mempamerkan persembahan cukup baik ketika Kelayakan Piala Dunia 2022 namun beliau masih kekurangan minit permainan bersama kelab.

Bagaimanapun, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberikan pendapat yang berbeza mengenai isu tersebut.

“Bagi saya tidak semua pemain kurang minit perlawanan bersama kelab gagal mempamerkan aksi mantap apabila menyarung jersi Harimau Malaya. Oleh itu, perbincangan lanjut akan dilakukan bersama pengurusan FAM kerana perkara penting adalah kebolehan dan kemampuan mereka beraksi bersama pasukan Harimau Malaya,” jelas Cheng Hoe

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Aksi Jafri Firdaus Chew ‘Tunjal’ Kaki Rabih Ataya Terima Kecaman Hebat Peminat Bola Sepak Malaysia

Levy Madinda Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan Gabon Hadapi Kelayakan Piala Dunia

Wartawan Colombia Dedahkan Hanya JDT Yang Menghantar Tawaran Rasmi Untuk Falcao