Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengesahkan pihaknya sudah pun menghantar permohonan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membida hak sebagai tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun ini.

Keputusan mengenai sama ada Malaysia berjaya menjadi tuan rumah atau tidak akan diketahui selepas majlis undian rasmi kelayakan Piala Asia 2023 pada 24 Februari ini.

Walaupun memenuhi kriteria ditetapkan oleh AFC, namun Malaysia perlu bersaing dengan negara lain yang turut menghantar permohonan rasmi untuk jadi tuan rumah.

“AFC akan buat keputusan sama ada kita berjaya atau tidak kerana saya difahamkan daripada Setiausaha Agung AFC (Datuk Windsor John) hampir kebanyakan pasukan membida untuk jadi tuan rumah, bukan kita sahaja.

“Jadi, AFC ada kriteria mereka dan setakat ini saya difahamkan kita masih (memenuhi kriteria), cuma terpaksa bersaing dengan negara lain.

“Ada sesetengah (negara) itu langsung tiada kuarantin. Jadi, AFC akan tengok semua kriteria dan yang paling mustahak pasukan kita kena bersedia sama ada bermain di dalam negara atau di luar,” kata Datuk Hamidin dipetik dalam Harian Metro.

Meskipun kes jangkitan COVID-19 kini semakin meningkat di negara, FAM tetap meneruskan bidaan untuk menjadi tuan rumah dan yakin penularan varian omicron boleh dikawal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Betul naik tapi kali ini berbeza sebab ramai yang sudah vaksin. Jadi, kita cuma ikut SOP KKM serta MKN dan kami tetap meneruskan pembidaan lagipun sekreatariat kami pun sudah hantar permohonan itu,” jelas Hamidin.

Bulan oktober tahun lepas, AFC mengesahkan bahawa perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format ‘single round robin’.

AFC juga telah memaklumkan bahawa perlawanan kelayakan akhir Piala Asia 2023 itu akan diadakan pada 3 tarikh yang telah ditetapkan iaitu 8,11 dan 14 Jun 2022 nanti. Venue perlawanan pada ketika ini masih belum ditetapkan dan ia dibuka untuk bidaan mana-mana ahli (MA) yang terlibat.

Ini adalah peluang terbaik untuk Malaysia menjadi tuan rumah supaya skuad Harimau Malaya mempunyai kelebihan beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri termasuk Ultras Malaya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Piala AFF B-23: Empat Tonggak Utama Dipanggil Perkuat Benteng Pertahanan Malaysia

Piala AFF B-23: Wan Kuzri Tak Jadi Sertai Skuad Malaysia

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022