Perlawanan Separuh Akhir 1 Piala Suzuki AFF 2018 antara Malaysia bertemu juara Kumpulan B, sama ada Thailand, Filipina atau Singapura akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini, 1 Disember 2018 dengan sepak mula jam 8.45 malam.

Untuk makluman penyokong Harimau Malaya, tiket bagi perlawanan tersebut hanya akan mula dicetak di Bangkok, Thailand oleh syarikat tiket yang dilantik Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas susunan kesemua empat pasukan yang layak ke separuh akhir disahkan apabila berakhirnya perlawanan terakhir Kumpulan B, malam ini.

FAM dimaklumkan bahawa tiket yang telah siap dicetak itu nanti hanya akan tiba di Kuala Lumpur pada sebelah malam Rabu, 28 November 2018, sekali gus ia hanya boleh mula dijual secara fizikal pada pagi Khamis ini (29 November 2018), jika tiada sebarang kelewatan penerimaan tiket tersebut.

Bagaimanapun, FAM mengambil inisiatif untuk memudahkan urusan penyokong bagi membeli tiket ini lebih awal dengan penjualan secara online di www.tickethotline.com.my yang akan mula dibuka esok (Isnin, 26 November 2018).

Penyokong kemudian boleh menebusnya di kaunter penebusan tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang akan dibuka bermula pada Khamis ini sehingga hari perlawanan pada Sabtu.

Sementara penjualan tiket secara fizikal di tiga saluran yang disediakan iaitu kaunter tiket Stadium Nasional, Bukit Jalil; di kaunter tiket khas di Wisma FAM, Kelana Jaya dan di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports pula akan bermula pada Khamis hingga Jumaat. Hanya penjualan di kaunter tiket stadium sehingga hari perlawanan iaitu pada Sabtu (jika tiket masih belum habis terjual).

Mengenai harga tiket, jika diimbas semula empat tahun lalu, harga tiket bagi perlawanan Separuh Akhir 1 Piala Suzuki AFF 2014, Malaysia bertemu Vietnam di Stadium Shah Alam ketika itu adalah RM40 bagi tempat duduk terbuka dan RM10 bagi tiket kanak-kanak.

Biarpun berlaku peningkatan kos memandangkan FAM terpaksa membayar sewa stadium serta lain-lain kos berkaitan pengelolaan perlawanan yang semakin meningkat, FAM memilih untuk menyerap kos tambahan itu supaya ia tidak terlalu membebankan para penyokong Harimau Malaya yang akan hadir ke stadium pada Sabtu ini.

Justeru harga tiket bagi perlawanan Separuh Akhir 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini telah ditetapkan RM30 bagi tempat duduk terbuka (RM10 lebih murah berbanding tiket 2014) dan RM5 bagi tiket kanak-kanak (RM5 lebih murah berbanding tiket 2014). Satu lagi kategori tiket yang diperkenalkan kali ini ialah tiket RM40 bagi tempat duduk grandstand.

Sementara itu, perlawanan Separuh Akhir 2 pula akan berlangsung di tempat lawan sama ada di Bangkok, Bacolod City atau Singapura pada Rabu, 5 Disember 2018.

Bagi penyokong Harimau Malaya yang berminat untuk hadir menyaksikan perlawanan tersebut, sama ada di Bangkok, Bacolod City atau Singapura, FAM akan menguruskan urusan pembelian tiket untuk perlawanan di tempat lawan itu dan maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan kemudian.