Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, semalam menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuala Lumpur, bagi menyembah maklum perkembangan terkini bola sepak tempatan.

Datuk Haji Hamidin menyembah maklum beberapa isu semasa kepada KDYMM Seri Paduka Baginda dalam kapasiti Al-Sultan Abdullah selaku tokoh yang berpengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan luar negara, termasuk menggalas tugas selaku Presiden FAM dari 2014 hingga 2017.

Sebagai tanda menjunjung kasih FAM ke atas KDYMM Seri Paduka Baginda, Datuk Haji Hamidin turut menyampaikan pemberian jersi baharu skuad Harimau Malaya kepada KDYMM Seri Paduka Baginda.

130076141_3445377072225699_6555362644928833582_o
FOTO: FAM

Dalam majlis menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda kali kedua sejak 27 Jun 2019 itu, Datuk Haji Hamidin menyembah maklum aktiviti bola sepak negara kendalian FAM dan Malaysian Football League (MFL) terutama membabitkan jadual perlawanan yang berlandaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan pandemik COVID-19.

Turut dibincangkan ialah perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya yang diilhamkan oleh ayahanda KDYMM Seri Paduka Baginda, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014.

NTC di Presint 5, Putrajaya dicadang menampilkan kemudahan moden termasuk tiga padang berciri antarabangsa yang kini dalam perbincangan fasa terakhir bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum kerja-kerja awal pembinaannya dijangka dimulakan pada awal tahun depan.

103444804_296333254875463_6895929309184352620_n

Rundingan untuk membina ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 juga sedang dimuktamadkan dan dijangka mula dibina pada lewat tahun 2021.
Datuk Haji Hamidin juga memohon perkenan pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda mengenai tanah FAM di Bentong, Pahang seluas 30 ekar.

Turut dinyatakan proses penswastaan kelab dan pasukan Liga Malaysia serta pemisahan FA kepada FC selain persediaan dan persiapan pasukan kebangsaan bagi menyambung saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac, serta perjalanan saingan Liga Malaysia musim 2021 juga Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang akan dijadual Disember tahun depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Kedah Mahu Manfaatkan Khidmat Pemain Muda Musim Hadapan

TMJ Beri Bayangan Bola Sepak Akan Kembali, Kehadiran Penonton 10% Dari Kapasiti Stadium

RASMI: Terengganu FC Umumkan Ketibaan Nik Akif Syahiran, ‘Modern Football’ Nafuzi Zain Sesuai Dengan Gaya Permainan