Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pasukan kebangsaan tidak akan menjalani latihan pusat selain mengesahkan tiada perlawanan persahabatan sepanjang bulan ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan ini diambil selepas mengambil kira garis panduan yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

FAM
Sumber Gambar: FAM

Menurut Datuk Hamidin, pihaknya cuba untuk mengisi perlawanan domestik ke dalam slot perlawanan antarabangsa memandangkan tiada sebarang perlawanan persahabatan yang melibatkan pasukan kebangsaan pada bulan ini.

“Namun cadangan itu tidak dapat diteruskan kerana kita mahu mengutamakan keselamatan semua pihak kerana kita sedar wabak COVID-19 ini adalah permasalahan global, maka kami harus mengambil langkah proaktif dan harus melaksanakan keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan semua pihak.

“Kami berharap dengan keputusan yang dicapai hari ini dapat meleraikan tanda tanya pasukan, penyokong mengenai status Liga Malaysia musim 2020 dan kami yakin keputusan ini adalah untuk kebaikan bersama dalam usaha kita mencegah wabak COVID-19 ini daripada terus merebak,” kata Datuk Hamidin.

Sebelumnya, FAM dan MFL telah memutuskan untuk menangguhkan kesemua perlawanan saingan Liga Malaysia 2020 berkuatkuasa Isnin ini (16 Mac 2020).

Namun, perlawanan yang berlangsung pada hujung minggu ini tetap dijalankan tetapi kesemua perlawanan akan berlangsung secara tertutup.

Baca artikel lain mengenai penundaan saingan Liga Malaysia musim 2020 di sini:

RASMI: Perlawanan Minggu Ini Tanpa Penonton, Mulai 16 Mac 2020 Semua Perlawanan Ditangguhkan

Perlawanan PJ City Menentang Terengganu FC Ditangguhkan Kerana Tiada Stadium