Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan bahawa Takuto Okabe, pengadil berusia 38 tahun dari Jepun telah dipilih untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019, diantara Perak menentang Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada hari Sabtu ini (27 Julai 2019).

Menurut kenyataan daripada setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam, Okabe akan dibantu oleh dua Penolong Pengadil iaitu Akane Yagi dan Osamu Nomura. Sementara pengadil tempatan, Razlan Joffri Ali, diletakkan sebagai pengadil keempat atau pengadil simpanan bagi perlawanan ini.

“Okabe yang merupakan pengadil utama bagi saingan J1 League telah menjadi Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2015. Beliau berpengalaman mengendalikan perlawanan pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Gwangju, Korea Selatan, Universiade 2017 di Chinese Taipei dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

“Selain itu, Okabe turut diberi tugas mengadili perlawanan-perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC sepanjang empat tahun terakhir ini iaitu dari 2016 hingga 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Yagi pula mula menjadi Penolong Pengadil FIFA sejak tahun 2009 dan berpengalaman bertugas pada Piala Asia 2015 di Australia, Piala Dunia B-20 2015 di New Zealand dan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, selain perlawanan-perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC dari 2015 hingga 2019.

Sementara Nomura, paling muda dalam kalangan tiga pegawai perlawanan dari Jepun ini, baru saja diiktiraf sebagai Penolong Pengadil FIFA pada 2019 dan telah diberikan tugas pada perlawanan Liga Juara-Juara AFC musim ini.

Menurut FAM, ketiga-tiga mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur, lewat petang ini.

“Mereka turut akan hadir pada hari terakhir Kursus Kepengadilan MA FIFA dan Seminar Pengadil Piala Malaysia 2019 & Challenge Cup 2019 di Shah Alam, pagi esok bagi sesi perkongsian pengalaman bersama pengadil-pengadil tempatan,” jelas Stuart Ramalingam.

Bagaimanapun, rantau asia tenggara bukanlah asing bagi pengadil utama, Takuto Okabe kerana sebelum ini beliau pernah dijemput untuk mengadili perlawanan liga divisyen 1 Vietnam (V1 League) di antara Becamex Binh Duong menentang Hanoi T&T pada tahun 2015.

Malah, beliau juga menjadi pengadil keempat untuk perlawanan akhir Piala AFF 2016 di antara Indonesia menentang Thailand  di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Sumber