Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman mengesahkan pengadil perlawanan Liga Super pada hari Sabtu lalu melibatkan Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Zulkarnain Zakaria telah membuat keputusan yang tepat.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil badan induk itu telah meneliti rakaman video perlawanan tersebut dan mendapati memang terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pemain import Selangor, Yazan Al-Arab terhadap pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dalam kawasan kotak penalti.

Terdapat sentuhan di bahagian kaki dan pengadil perlawanan membuat keputusan untuk memberikan sepakan penalti kepada JDT pada minit ke 29.

“Selepas dibuat penelitian dan analisis menerusi rakaman video oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil, memang terdapat kesalahan dilakukan pemain Selangor tersebut, iaitu kekasaran dan sentuhan terhadap pemain lawan.

“Berdasarkan itu, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah membuat rumusan bahawa tindakan pengadil memberikan sepakan penalti tersebut adalah satu keputusan yang tepat,” kata Noor Azman dipetik dalam Bernama.

Insiden melibatkan pengadil bagaikan acara tahunan dalam saingan Liga Malaysia dimana setiap musim terdapat insiden yang mengakibatkan ramai pihak mempersoalkan keputusan pengadil.

Malah, terdapat insiden di luar stadium selepas perlawanan itu apabila CEO Selangor FC dilaporkan meluahkan rasa tidak puas terhadap pengadil. Noor Azman berkata perkara itu sedang diteliti Unit Undang-undang FAM.

“Bagi insiden yang berlaku di luar stadium selepas perlawanan itu, penelitian lanjut sama ada ia perlu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM atau sebaliknya akan dibuat,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar Kini Pemilik Saham Terbesar KDA FC

Penyokong Terengganu ‘Habiskan’ Semua Tiket Final Piala FA

Pemain Sarawak United Sudah 4 Bulan Tidak Terima Gaji