Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa pasukan PDRM secara rasminya terlepas daripada hukuman pemotongan enam selepas mereka berjaya mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada hari ini, 28 Februari 2020.

Pasukan PDRM sebelum ini telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata untuk Liga Super 2020 pada 3 Februari lalu selepas mereka gagal berbuat demikian mengikut tarikh akhir pertama yang ditetapkan iaitu pada 31 Januari 2020.

Susulan itu, PDRM telah diberi tempoh tambahan selama empat minggu untuk menyelesaikannya sehingga 28 Februari 2020 dan jika masih gagal, PDRM akan dikenakan hukuman seterusnya iaitu pemotongan enam lagi mata.

FAM menghargai usaha yang telah dilakukan oleh PDRM untuk menyelesaikan juga perkara ini dan akhirnya, tunggakan gaji membabitkan 20 pemain dan tiga pegawai pasukan mereka ini berjaya diselesaikan sama ada menerusi pembayaran penuh atau pembayaran secara ansuran seperti yang telah dipersetujui.

Secara terperincinya, PDRM telah berjaya menyelesaikan bayaran berjumlah RM623,525.88 iaitu penyelesaian penuh membabitkan dua pemain tempatan, pembayaran 50 peratus kepada 14 pemain yang mana bakinya akan dibayar secara ansuran seperti yang dipersetujui serta empat pemain import iaitu dua pemain sudah dibayar penuh dan dua pemain dibayar secara ansuran.

Sementara tiga pegawai pasukan pula kes mereka telah dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan akan didengar kesnya pada Selasa ini, 3 Mac 2020.

FAM berharap PDRM dapat menyelesaikan baki tunggakan yang akan dibayar secara ansuran itu iaitu berjumlah RM611,029.88 mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui kedua-dua pihak, pasukan dan pemain.

Ini kerana FAM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pasukan-pasukan yang terbabit mengikuti pelan penyelesaian baki tunggakan gaji seperti yang telah dipersetujui bersama pemain dan pegawai.

Baca juga artikel lain berkaitan bola sepak Malaysia yang telah kami sediakan untuk anda sebagai rujukan.

Enam Pemain Import Tumpuan Saingan Liga Super 2020

Penjelasan Mengenai Kenapa UiTM FC Guna 2 Jenama Berbeza Untuk Jersi Mereka Dalam CIMB Liga Super 2020

Pahang FA Pasukan Pertama Liga Super Mempunyai Aplikasi Mudah Alih