Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe memerlukan satu perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan bagi menghadapi kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Berdasarkan laporan daripada Stadium Astro, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pun membuat perbincangan awal dengan pihak Persatuan Bolasepak Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mendapatkan persetujuan mengaturkan satu perlawanan persahabatan berkelas A pada bulan September nanti.

“Dari September dan seterusnya, mungkin hanya satu perlawanan rasmi bakal diharungi skuad Malaysia manakala satu lagi sebagai perlawanan persahabatan (pemanas badan).

“Tiada gunanya kami mengadakan aksi persahabatan timbal balik dengan UAE di tempat lawan dan tempat sendiri.

“Sebaik jadual peringkat kumpulan sudah dikeluarkan, barulah kami boleh menentukan (hala tuju pasukan kebangsaan),” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

harimau malaya
FOTO: FAM

Bagaimanapun, FAM akan menukarkan aksi persahabatan itu dengan pasukan lain sekiranya Malaysia dan UAE diundi dalam satu kumpulan ketika undian pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada 17 Julai ini.

“Kami sudah berbincang tetapi ia bergantung kepada keputusan undian peringkat kumpulan,” tambahnya.

40 pasukan iaitu pasukan yang berada di ranking 1 hingga 34 asia serta 6 pasukan yang menang di pusingan pertama akan dibahagikan kepada 8 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 5 pasukan.

Hanya juara kumpulan dan 4 pasukan naib juara yang terbaik (12 pasukan) akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 serta layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023.

pw8d7p9cfciaruip2ujy-768×364
Grafik: AFC

Manakala baki pasukan yang tidak berjaya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 dimana 24 pasukan akan dibahagikan dalam 6 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 4 pasukan. Hanya dua pasukan teratas kumpulan dapat tiket beraksi di Piala Asia 2023.

Pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 ini akan berlangsung pada 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020 dan dijalankan secara format ’round robin’.

Dalam undian tersebut, Malaysia yang kini berada di ranking 159 dunia selepas menewaskan Timor Leste di pusingan pertama bulan lepas akan diletakkan dalam balang 4 bersama Turkmenistan, Myanmar, Hong Kong, Yaman, Afghanistan, Maldives dan Kuwait.

Itu bermakna setiap negara berpeluang bertemu pasukan gergasi asia yang diletakkan dalam balang 1 iaitu Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia, UAE, Arab Saudi, China serta juara Piala Asia 2018, Qatar.

Sumber